Rasuah libat penjawat awam di Sabah di peringkat minimum: SPRM

0

 

PERANGI RASUAH... Musa (dua kiri) bersalaman dengan maskot SPRM, Ejen Elang sambil diperhatikan oleh Sutina (kiri) dan Pengarah NKRA Membanteras Rasuah, Dato Hisham Nordin (kanan sekali).

KOTA KINABALU: Gejala rasuah di peringkat penjawat awam di negara ini masih di peringkat terkawal termasuklah negeri Sabah menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutina Sutan berkata namun demikian tidak menolak aktiviti gejala rasuah di sini sememangnya wujud tetapi di tahap minimum dan ia menunjukkan petanda yang baik.

Menurutnya untuk tahun ini, SPRM telah mencatat enam kes rasuah di Sabah melibatkan penjawat awam dan orang awam sehingga Oktober di mana kebanyakan kesalahan meliputi aspek melanggar peraturan dan salah laku berkaitan dengan aktiviti berkenaan.

“Sehingga Oktober tahun ini, SPRM Sabah telah menuduh enam orang dan mengemukakan laporan kepada ketua-ketua jabatan atau agensi kerajaan untuk mengambil tindakan tatatertib kepada kakitangan terlibat gejala rasuah dan salah laku.

“Mengenai enam kes rasuah (di Sabah) itu, kita telah menerima aduan umum, melalui telefon, surat-surat aduan dan ketua jabatan mereka.

“Sekarang ini, kita juga sedang menekankan kempen memerangi pemberi rasuah kerana menurut undang-undang mereka ini juga bersalah. Sehubungan itu, kita mahu penjawat awam melapor rasuah sekiranya ditawarkan atau diberikan rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, Sutina berkata pihak SPRM juga berhasrat melihat semua pihak boleh berkerjasama dengan lebih erat bagi mewujudkan ‘gelombang’ memerangi rasuah bersama-sama pemimpin negeri dan pihak berkuasa di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Hari Terbuka Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah 2011 bersama penjawat awam Sabah di Hyatt Regency yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.