Tubuh parti baharu tindakan tidak rasional, kata Dr Chan

1

KUCHING: Tindakan untuk mewujudkan sebuah lagi parti baharu dianggap sebagai satu perbuatan yang tidak rasional dan bercanggah dengan objektif asal parti.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri George Chan ketika mengulas spekulasi mengenai perkara itu.

Menurut spekulasi, Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh akan mewujudkan parti baharu jika tidak dipilih bagi memegang jawatan Presiden pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) hujung minggu ini.

Wong bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya perkara itu dan menegaskan ia hanyalah spekulasi semata-mata yang tidak diketahui sumbernya.

Dr Chan yang ditemui semalam berkata: “Jika kamu cintakan parti, tidak akan ditubuhkan satu lagi parti baharu.

“Adakah kamu masih mencintai parti jika kamu menubuhkan parti baharu?” soal Dr Chan kembali apabila ditanya mengenai spekulasi tersebut.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Delegasi Pergerakan Wanita SUPP Ke-12 di Ibu Pejabat SUPP turut menasihatkan ahli agar mengetepikan soal jawatan dalam parti.

“Seperti yang telah saya nyatakan, untuk berkhidmat kepada rakyat ia tidak mengira jawatan.

“Jawatan tidak penting, apa yang lebih penting ialah keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya: “Berkhidmat untuk rakyat, adakah ia memerlukan jawatan dalam parti?

“Jika anda lebih mementingkan jawatan bermakna anda menyertai parti untuk kepentingan sendiri dan bukan ke arah mengukuhkan parti.

“Ini mesej saya, dan mesej ini untuk semua ahli parti,” katanya.

Dr Chan turut terkilan dengan sikap segelintir ahli dalam parti yang gemar akan jawatan dan memikirkan soal kepentingan diri.

“Jangan memburukkan orang lain untuk kepentingan diri sendiri dan menyatakan diri anda lebih hebat daripada orang lain,” tegasnya kepada ahli-ahli parti.

Menyentuh mengenai perkembangan ahli-ahli Wanita SUPP, Dr Chan berkata mereka telah berjaya membawa perubahan bukan sahaja kepada Pergerakan Wanita malah turut berperanan dalam mengukuhkan parti serta pelaksanaan polisi kerajaan.

Katanya, sejak diwujudkan pada tahun 1976, Sayap Wanita SUPP telah banyak membawa ke arah kemajuan parti, rakyat dan negeri amnya.