Jelajah Bandung: S’wak cemerlang

0

KUCHING: Sarawak sudah boleh menguntumkan senyuman lebar apabila misi Jelajah Bandung 2011 mencapai kejayaan cemerlang dalam tiga perlawanan yang mereka harungi setakat ini.

Sarawak menang tipis ke atas pasukan Mutiara Hitam (1-0) pada aksi pertama dan membenam pasukan St Prima FC 3-1 pada Isnin lalu.

Sementara aksi menentang kelab Persita Tangerang kelmarin (Khamis) terikat dengan jaringan 1-1.

“Setakat ini saya ternyata berpuas hati dengan persembahan semua pemain dalam misi Jelajah Bandung ini,” kata ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts semalam.

Alberts menurunkan semua pemain yang telah disenaraikan dalam skuad Sarawak bagi musim 2012.

Katanya, semua pemain menunjukkan kombinasi yang baik di posisi masing-masing dan beliau berharap mereka dapat menterjemahkan dengan prestasi hebat pada saingan Liga Super nanti.

“Saya percaya dengan pendedahan dan pengalaman yang diperolehi semua pemain dalam misi Jelajah Bandung ini dapat direalisasikan sebaik-baiknya pada kancah Liga Malaysia musim 2012 nanti,” katanya.

Alberts turut memuji keserasian yang ditunjukkan pemain-pemain sambil berharap prestasi itu akan diteruskan pada Liga Super nanti.