2,465 kes jangkitan baru HIV setakat September

0

SANDAKAN: Sebanyak 2,465 kes jangkitan baru HIV direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara setakat September lepas.

Sementara, bagi unjuran bilangan kes baru HIV sehingga akhir tahun ini, sebanyak 3,286 kes atau sembilan kes sehari direkodkan dengan kadar 11.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jumlah itu menunjukkan penurunan konsisten sejak 2003 apabila kerajaan melaksanakan langkah-langkah pencegahan penyakit secara menyeluruh.

“Kejadian kes HIV baru yang tertinggi di negara ini dilaporkan berlaku pada 2002 iaitu sebanyak 6,978 kes atau kadar 28.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Kerajaan kemudian membuat sasaran untuk mengurangkan kadar kejadian kes-kes baru HIV kepada kadar 11 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang 2015. Pelbagai langkah pencegahan secara menyeluruh telah diambil untuk tujuan ini.

“Dengan penurunan kes jangkitan HIV baru secara signifikan sejak 2003, kemungkinan besar sasaran bagi 2015 dapat dicapai lebih awal,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Aids Sedunia 2011 Peringkat Kebangsaan di Dewan SM Yu Yuan, di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Mohd Yusof Ibrahim, Presiden Persatuan Kumpulan Sokongan Aids (SAGA) Sandakan, Dr Zaiton Yahya dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Hamsan Awang Supain.

Untuk rekod, sehingga September ini, sebanyak 93,827 kes jangkitan HIV telah direkodkan di seluruh negara sejak jangkitan penyakit itu yang pertama dikesan pada 1986.

Daripada jumlah itu, sebanyak 17,232 (18.4%) kes merupakan pesakit Aids sementara 14,804 (15.8%) kes pula kematian berkaitan HIV dan Aids.

Tema global sambutan Hari Aids Sedunia (2011-2015) adalah ‘Menuju Sifar’ merangkumi sifar jangkitan HIV baru, sifar diskriminasi dan sifar kematian berkaitan Aids.

Selain itu, Malaysia turut memilih slogan ‘Ke Arah Eliminasi Transmisi Vertikal’ iaitu transmisi daripada ibu yang dijangkiti HIV kepada anak sama ada semasa dalam kandungan, kelahiran mahupun melalui penyusuan susu ibu.