GCM anjur drama muzikal ‘The Sound of Music’

0

MIRI: Kelab Gymkhana Miri (GCM) akan menganjurkan drama muzikal ‘The Sound of Music’ pada 17 dan 18 Disember ini.

Drama muzikal berkenaan diadakan untuk program kebajikan sempena sambutan Hari Krismas untuk pusat jagaan harian kanak-kanak Sunflower di sini.

Setiausaha Penganjur Jennie Soh berkata drama muzikal berkenaan mencerita kehidupan sebuah keluarga di Miri.

“Ini merupakan aktiviti sempena perayaan Krismas dan bagi mengumpul dana untuk Pusat Sunflower.

“Drama muzikal ini mengisahkan sebuah keluarga dalam menjalani kehidupan yang begitu mencabar dan mementingkan nilai kekeluargan dan kawan.

“Drama ini melibatkan 50 pelakon tempatan yang berusia lima hingga 65 tahun,” katanya.

Menurutnya, penulis skrip merupakan doktor tempatan yang mempunyai minat yang begitu mendalam terhadap muzik iaitu Dr Loh Yunn Hua.

Drama tersebut turut dibantu oleh kumpulan sukarelawan daripada Pertubuhan Drama Amatur Miri (MADS) untuk menunjukkan bakat melalui lakonan dan muzik.

Ujar beliau, muzik yang berjudul ‘The Sound of Music’ juga akan dipersembahkan oleh bakat tempatan yang dikendalikan oleh James Lau bersama ahli muziknya.

“Dua pengarah iaitu Sylvester Lim dan Pauline Chang begitu komited dan bekerja keras untuk menjayakan drama muzikal tersebut sejak September lalu.

“Kami berharap agar program ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai,” katanya.

Tambah beliau, tetamu istimewa yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur iaitu Operafest Children Choir turut akan membuat persembahan dalam program itu nanti.

Selain persembahan, turut terdapat beberapa gerai yang menjual pelbagai barangan, makanan dan minuman terlibat menjayakan program kebajikan berkenaan.

Tiket untuk menyaksikan drama muzikal tersebut dijual pada harga RM30 untuk ahli GCM dan RM35 bagi yang bukan ahli.

Mereka yang berminat boleh menghubungi pihak GCM di talian 085-434655 untuk keterangan lanjut atau pembelian tiket.