Kembali bersatu perkukuh SUPP

0

Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh perlu kembali semula kepada parti demi kepentingan dan keutuhan parti: Dr chan

KUCHING: Kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh perlu kembali kepada parti demi kepentingan dan keutuhan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

“Kita mesti bekerjasama sebagai satu kumpulan. Adalah penting untuk kita bersama-sama memperkukuhkan parti kini dan seterusnya,” kata bekas Presidennya Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Perwakilan SUPP Ke-22 di ibu pejabat parti di sini semalam.

Jelas Dr Chan, semakin ramai ahli yang ada, semakin mudah untuk mencapai yang lebih baik daripada apa yang sedia ada.

Justeru, adalah penting untuk mendapatkan mereka yang cintakan parti untuk kembali kepada parti jika mahu memperkukuhkan parti.

“Berada di luar parti tidak akan membantu anda. Banyak peluang untuk mereka (kumpulan Wong Soon Koh) untuk bekerjasama jika kembali kepada parti,” katanya.

Ditanya bagaimana jika Wong Soon Koh enggan kembali kepada parti dan membentuk parti baru, Dr Chan berpendapat jika dia cintakan parti dia pasti akan kembali.

“Saya fikir, jika dia sayangkan parti dia akan kembali. Tapi jika dia berdegil apa boleh buat,” jelasnya ringkas.

Kumpulan Wong Soon Koh bertindak memboikot Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) pada perasmian oleh Perdana Menteri Sabtu lepas.

Turut menyertai kumpulan tersebut ialah Datuk Tiong Thai King, Datuk Francis Harden Hollis, Datuk Lee Kim Shin, Dr Jerip Susil, Ranum Mina dan Dr Johnichal Rayong Ngipa.