Kontraktor bumiputera lemah dalam praktikal

0

CENDERAHATI... Awang Sham (kiri) menerima cenderahati sebagai penghargaan daripada penghulu peserta.

SANDAKAN: Kekurangan ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan dikenal pasti antara kelemahan di kalangan kontraktor bumiputera.

Pengerusi Sedcovest Holdings Sendirian Berhad, Datuk Awang Sham Amit berkata ramai usahawan bumiputera bijak bertindak merancang perniagaan secara teori, bagaimanapun gagal dari segi praktikal.

“Punca kegagalan kebanyakannya lebih dipengaruhi oleh kelemahan mengurus selain sikap peniaga itu sendiri.

“Dan berdasarkan satu kajian yang dijalankan terhadap usahawan bumiputera yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan, mendapati 91 peratus kegagalan golongan itu akibat dari kelemahan pengurusan sama ada mentadbir, masalah peribadi, kecuaian dan penipuan.

“Lebih ketara adalah kelemahan dalam pengurusan kewangan iaitu 43 peratus yang meliputi penyediaan akaun terutama perbelanjaan kewangan tanpa sempadan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Kursus Kontraktor Bangunan di Sanbay Hotel di sini, kelmarin. Seramai 37 peserta mengikuti kursus anjuran Sedcovest Holdings yang diadakan selama tiga hari itu.

Menurut Awang Sham, kelemahan dalam menguruskan perniagaan merupakan satu isu yang kritikal.

Oleh itu, katanya, meskipun mendapat pelbagai sokongan, bantuan kerajaan atau pinjaman dan bantuan kewangan, ia tidak membawa erti sekiranya tiada kemampuan mengurus perniagaan secara cekap.

Tambahnya, meskipun ramai kontraktor bumiputera telah berjaya, tetapi masih ada juga segelintir mereka yang bersikap mahu cepat kaya.

“Apabila mereka diberikan lesen tetapi ia dijual dan mengharap mendapat kontrak hanya untuk keuntungan atas angin,” jelasnya.