Riot Bumiputera pertama dilantik sebagai timbalan presiden SUPP

0

KUCHING: Datuk Richard Riot Jaem melakar sejarah baharu apabila dilantik sebagai timbalan presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bukan Cina (Bumiputera) yang pertama.

Pelantikan tersebut sekali gus membuka lembaran baharu kepada SUPP untuk terus kekal kukuh dan bersatu di bawah satu parti tanpa mengira kaum.

Pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) semalam Riot ternyata terharu dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan oleh jawatankuasa pusat (CC) kepadanya untuk memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti.

“Saya melihat tiada sebab untuk saya menolak jawatan ini kerana kepercayaan dan keyakinan perwakilan kepada saya sebagai timbalan presiden.

“Sebagai timbalan presiden daripada bukan Cina, saya berharap mulai detik ini, masyarakat Dayak akan diberi perhatian seperti rakan lain dalam parti ini,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas sidang media menambah, masih terlalu awal untuk membuat andaian bahawa pelantikan beliau akan menarik lebih ramai Dayak terhadap SUPP.

Tetapi beliau percaya pelantikannya sebagai timbalan presiden daripada kalangan bukan Cina akan membolehkannya bergerak lebih kerap di kalangan masyarakat Dayak.

“Seperti yang telah saya nyatakan awal tadi, ini merupakan kali pertama ahli bukan Cina dipilih sebagai timbalan presiden dalam sejarah SUPP.

“Justeru  saya berharap di kalangan ahli Bidayuh yang bertindak untuk keluar parti akan kembali kepada parti seperti gesaan Presiden Datuk Seri Peter Chin,” katanya.

Riot dilantik sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan P199 Serian pada 1990 menerusi tiket bebas dan mulai menyertai SUPP pada 1 Mei 1993.

Selain Ahli Parlimen Serian dan timbalan presiden SUPP, Riot juga merupakan Timbalan Menteri Luar Malaysia.