Tiada wakil Cina atau Iban ketuai jabatan kerajaan di Kanowit

2

SIBU: Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kanowit Thomas Laja berharap salah satu daripada jawatan tertinggi di enam jabatan kerajaan di Kanowit diketuai oleh wakil daripada masyarakat Cina atau Iban.

Katanya, ia bertujuan mengurangkan jurang di antara kaum yang boleh membawa kepada rasa tidak puas hati terutama di kalangan penduduk Kanowit.

Thomas menjelaskan, 92 peratus daripada penduduk Kanowit ialah kaum Iban dan agak menghairankan kenapa salah satu daripada jawatan tertinggi di enam jabatan kerajaan di kawasan tersebut tidak diperuntukkan kepada wakil daripada Iban.

Enam agensi kerajaan yang dimaksudkan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kanowit, Jabatan Pelajaran, Penerangan, Kebajikan, Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kanowit.

Thomas berkata, situasi yang wujud sekarang bercanggah dengan dasar 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kaum Iban sebagai contoh…juga ramai yang berkelayakan untuk meneraju salah satu daripada agensi berkenaan,” katanya.

Thomas berkata kerajaan negeri harus meneliti semula sistem perlantikan ke dalam jawatan.

Jelas beliau ia bertujuan untuk mengekalkan konsep sama rata dan dalam pada masa yang sama mempraktikkan konsep berkongsi kuasa.

Wakil rakyat di Kanowit juga ujar beliau, perlu mencari jalan supaya semua orang di Kanowit berpuas hati dengan apa yang mereka cuba usahakan.