United lupakan kekecewaan

0

LONDON, England: Wayne Rooney dan Nani menamatkan kemarau gol mereka apabila masing-masing menjaringkan dua gol ketika Manchester United menamatkan minggu malang dengan kebangkitan moral apabila menewaskan Wolverhampton Wandereres 4-1, sekali gus membolehkan mereka hanya kurang dua mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City Sabtu lepas.

Selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara ekoran kekalahan kepada FC Basel pada Rabu minggu lepas, United menjadikan gol pertama Nani dalam 14 perlawanan dan gol pertama Rooney dalam sembilan perlawanan liga, untuk mengembalikan maruah mereka yang tercalar.

Gol cantik Robin van Persie memastikan Arsenal menewaskan Everton 1-0 sementara Liverpool juga menang tipis 1-0 ke atas Queens Park Rangers (QPR) di Anfield menerusi gol Luis Suarez.

Pasukan yang menyerlah pada awal musim, Newcastle United bagaimanapun kecundang 2-4 di Norwich City sementara Aston Villa menang 2-1 di Bolton Wanderers dan Swansea City terus mencuri perhatian musim ini apabila menewaskan Fulham 2-0.

Wigan Athletic melangkah keluar dari tangga terbawah liga apabila menang 2-1 di West Bromwich Albion.

Dari sepak mula di Old Trafford, United kelihatan berazam untuk memadam kekecewaan tersingkir awal dari kejohanan elit kelab Eropah dan Wolves jelas tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang gelombang kebangkitan ‘The Red Devils’.

Nani membuka jaringan pada minit ke-17 sebelum Rooney menambah jaringan dengan penyudah cantik 10 minit selepas itu.

Wolves, yang mengejutkan United 2-1 di Molineux pada bulan Februari, bangkit seketika apabila Steven Fletcher merapatkan kedudukan dua minit selepas rehat tetapi United tidak menoleh ke belakang lagi apabila Antonio Valencia mengumpan bola yang dijaringkan oleh Nani dan kemudian Rooney selepas itu.

Inilah kali pertama United menjaringkan lebih dari satu gol dalam perlawanan liga dari lapan percubaan, sejak menewaskan Norwich City 2-0 pada 1 Oktober.

“Saya gembira dengan jentera serangan yang ternyata cukup bagus walaupun kami juga terpaksa bertahan dari hantaran lintang ke kotak penalti kami,” demikian menurut pengurus United, Sir Alex Ferguson ketika memberitahu Sky Sports News.

“Semua kemenangan 1-0 kami sebelum ini, kami boleh menjaringkan lebih banyak gol sebenarnya tetapi menjaringkan gol kedua hari ini benar-benar memberikan kelegaan kepada kami.

“Pemain mempunyai keinginan yang tinggi dan bekerja keras serta mempamerkan aksi yang menarik.”

Kemenangan itu membolehkan United mengumpul 36 mata, dua mata di belakang City, yang akan bertandang ke Chelsea pada perlawanan malam ini (Isnin).

Tottenham Hotspur, yang bertandang ke Stoke City, juga pada perlawanan lewat (Ahad), kekal di tangga ketiga dengan 31 mata sementara Arsenal naik ke tangga keempat dengan 29 mata, satu mata di hadapan Chelsea.

Permulaan cemerlang Newcastle pada musim ini kelihatan sudah dilupakan oleh para penyokong mereka apabila tewas di Norwich, selepas hanya mengutip tiga mata dari tiga perlawanan sebelum itu – walaupun tampak gah ketika menentang kelab-kelab gergasi seperti Chelsea, Manchester United dan Manchester City.

Dua gol daripada Grant Holt dan masing-masing satu daripada Wesley Hoolahan dan Steve Morison memastikan kemenangan Norwich, dengan gol saguhati Newcastle dijaringkan oleh Demba Ba.

Arsenal menguasai permainan ketika menentang Everton tetapi gagal mengancam pintu gol lawan kecuali satu gerakan cantik pada minit ke-70, apabila Alex Song melambung bola dari jarak jauh yang dirembat cantik oleh Van Persie untuk gol ke-19 beliau musim ini.

Di Anfield, Liverpool terlepas beberapa peluang dan gagal menembusi penjaga gol QPR, Radek Cerny sebelum Luis Suarez menjaringkan gol kemenangan, dua minit selepas rehat dari satu hantaran lintang Charlie Adam. Ia turut menamatkan empat keputusan seri berturut-turut di gelanggang sendiri buat Liverpool. — Reuters