ALOR SETAR: Lebih 30,000 rakyat Kedah daripada pelbagai bangsa dan peringkat masyarakat hadir di sepanjang jalan dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim sejauh 5.3 kilometer, untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Haminah Hamidun ke Kuala Lumpur pagi semalam.
Sebelum berangkat dari anjung Istana Anak Bukit di sini, doa dibacakan dan azan dilaungkan sebelum Nobat ‘Raja Berangkat’ dimainkan oleh kumpulan Nobat diRaja.
Tuanku berdua yang berpakaian rasmi berangkat dari Istana Anak Bukit ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada jam 7.30 pagi dengan kawalan polis bermotosikal.
Ketibaan baginda berdua di lapangan terbang disambut oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan isteri Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah serta orang kenamaan negeri.
Azizan kemudian mengiringi Sultan dan Sultanah Kedah ke pentas DiRaja dan diikuti persembahan ‘Hormat’ DiRaja’, lagu Negaraku dimainkan sambil tembakan meriam 18 das dilepaskan. — Bernama