Forensik, bomba siasat terperinci kebakaran pejabat terperinci

0

KUCHING: Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat akan melakukan siasatan terperinci kejadian kebakaran di ibu pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Jalan Central awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya sedang menunggu  laporan lanjut berhubung kejadian tersebut sebelum membuat sebarang kenyataan sama ada berlaku unsur khianat atau sebaliknya.

“Setakat ini kita masih lagi menunggu laporan daripada forensik serta bomba dan kami akan menyiasat kes tersebut secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata polis juga belum menerima sebarang aduan atau laporan daripada anggota parti tersebut selain menerima laporan biasa anggota unit peronda (MPV) polis yang  memaklumkan kebakaran berlaku di premis tersebut kira-kira jam 3.50 pagi semalam.

Dalam kejadian itu bahagian tingkat bawah ibu pejabat SUPP yang menempatkan bilik mesyuarat telah terbakar menyebabkan sedikit kerosakan manakala bahagian lain bangunan tidak terjejas termasuk tingkat atas yang menempatkan dewan persidangan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat dengan kekuatan 13 anggota bersama dua jentara bomba dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5 pagi semalam.

Setiausaha Agung SUPP Prof Dr Sim Kui Hian merupakan antara yang pertama datang di tempat kejadian dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.

Ibu Pejabat tersebut baru sahaja selesai digunakan untuk proses pemilihan Jawatankuasa Pusat (CC) ke-24 (2012-2014) pada hari Sabtu dan Ahad lalu. — Bernama