Lagi dadah di LTAKK

0

DIRAMPAS...Hamza bersama Ketua JSJN IPK Sabah, Superitendan Rahim Dolmat (tiga dari kanan) dan pegawai-pegawainya yang lain menunjukkan syabu yang berjaya dirampas daripada suspek di LTAKK Terminal 2 Isnin lepas.

KOTA KINABALU:  Kali ini seberat 11kg bernilai RM3.3 juta.

Hanya beberapa hari selepas 10 kilogram ketamin bernilai lebih RM132,000 dirampas kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) Terminal 1 Jumaat lepas, pasukan polis Sabah pula berjaya merampas 11 kilogram syabu bernilai RM3.3juta, yang juga rampasan terbesar tahun ini di LTAKK Terminal 2 di sini Isnin lepas.

Kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu melibatkan seorang warga tempatan dari Keningau berumur 31 tahun apabila dia dipercayai membawa dadah terbabit dari Kuala Lumpur untuk tujuan diedarkan ke seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Hamza Taib berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah membuat pemantauan terhadap suspek di lapangan terbang berkenaan.

“Suspek ditahan ketika dia berada di luar pintu ketibaan dan ketika ditahan suspek sedang membawa satu beg sandang dan dua beg pakaian.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis berjaya menemui 13 paket platik berisi syabu yang disembunyikan di dalam beberapa paket plastik teh herba Cina dan beberapa kotak minuman keras.

“Siasatan awal mendapati berat anggaran kasar kesemua dadah terbabit ialah 11 kilogram dengan nilai pasaran sebanyak RM3.3 juta,” katanya pada sidang media di IPK Sabah, Kepayan dekat sini kelmarin.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang membabitkan dadah dan dia juga kini masih lagi dalam pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di bawah Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan.

“Sebelum ini, suspek juga pernah didapati bersalah kerana mengambil dadah dan dia diletakkan di bawah pengawasan selama dua tahun di mana sepatutnya berakhir Mei tahun depan.

“Suspek turut tidak dibenarkan keluar dari kawasan Keningau tanpa kebenaran, bagaimanapun pihak polis akan menyiasat sama ada dia pernah meminta kebenaran untuk keluar dari kawasan pengawasan atau tidak,” katanya.

Tambah Hamza, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 18 Disember depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada Jumaat lepas juga di LTAKK, pihak kastam berjaya merampas 10 kilogram ketamin bernilai lebih RM132,000 daripada beg yang dibawa oleh dua warga Semenanjung.

Dadah terbabit dipercayai dibawa daripada negara China dan kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Pinang terbabit juga difahamkan singgah di Kota Kinabalu selama dua hari dari Hong Kong sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, setibanya di LTAKK Terminal 1, penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah yang bertugas berjaya menemui kesemua dadah terbabit yang hanya disembunyikan dengan cara membalut bersama kertas karbon dan kertas putih.

Kedua-dua suspek yang berumur 26 dan 24 tahun itu juga disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.