Rakyat bangga Sultan Kedah dilantik kali kedua

0

PENGHORMATAN TERTINGGI: Para pelajar Universiti Utara Malaysia berhimpun di sepanjang Jalan Anak Bukit hingga ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim bagi mengiringi keberangkatan Tuanku Abdul Halim bersama Tuanku Haminah Hamidon ke Istana Negara Jalan Duta, Kuala Lumpur. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Rakyat Kedah amat bangga dan ter­uja dengan pelantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, setelah menamatkan pemerintahannya sebagai Yang di-Pertuan Agong ke­lima pada 1975.

Mereka menyifatkan pelan­tikan Sultan Abdul Halim, 84, sebagai Yang di-Per­tuan Agong untuk kali kedua adalah satu sejarah yang sukar dicapai memandangkan ia perlu mengikut giliran dan masa yang panjang.

Sultan Abdul Halim buat pertama kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai 1970, dan ditabalkan pada 20 Feb 1971 untuk tem­poh lima tahun yang berakhir pada 20 Sept 1975.

Bagi Wan Nasri Wan Abdul Rahman, 59, yang berkhid­mat sebagai Orang Balai Besar di pejabat baginda berkata: “Sebagai rakyat Kedah dan bekerja di pejabat Tuanku se­jak 1977, saya memang sangat bangga dan sukacita.

“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan ini dan saya yakin seluruh rakyat Kedah turut merasai perasaan yang sama. Sudah banyak acara yang dibuat untuk meraikan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong. Ini jelas menunjukkan kegembiraan rakyat terhadap pelantikan baginda,” katanya kepada Bernama.

Bagi Marzuki Md Isa, 59, bekas jurugambar akhbar rasmi kerajaan negeri, Warta Darulaman, Sultan Abdul Halim merupakan seorang pemerintah yang cukup ber­dedikasi serta tegas dalam melaksanakan tanggungja­wab sepanjang memerintah negeri ini.

“Baginda seorang Sultan yang lemah lembut, namun tegas dalam memastikan tugas seharian baginda dilaksana­kan dengan baik,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang bersara pada tahun lepas, sebelum ini ser­ing ditugaskan menghadiri majlis-majlis yang dihadiri baginda untuk mengambil gambar berkata baginda adalah juga seorang pemerin­tah yang sangat prihatin.

Kakitangan kerajaan negeri Jamaliah Harun, 43, berkata apabila Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada Disember 2006, beliau me­mang menyimpan harapan semoga baginda dapat men­erajui pemerintahan ne­gara sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Masa tu saya betul-betul berharap agar baginda Sul­tan dapat menerajui semula negara buat kali kedua dan harapan saya kini tercapai,” katanya dan menambah, tidak ada apa yang paling diharapkan selain mendoakan supaya baginda kekal sihat dan dapat mentadbir negara dengan baik.

Ahmad Tarmizi Ibrahim, 35, yang bekerja sendiri pula menganggap pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong merupakan memori terindah buat seluruh rakyat negeri ini.

“Baginda merupakan Sul­tan yang berjiwa rakyat. Baginda sering berjumpa dengan rakyat terutamanya bila berlaku musibah kepada rakyat.

“Masih segar dalam ingatan semasa saya menjadi mangsa banjir besar pada November tahun lepas. Baginda tidak kekok untuk turun berjumpa rakyat yang tinggal bersesak di pusat pemindahan bagi me­lihat sendiri kesusahan rakyat yang ditimpa musibah,” ka­tanya. — Bernama