Serangan pejabat SUPP dikutuk

0

MUSNAH: Bilik mesyuarat di ibu pejabat SUPP musnah selepas dijilat api awal pagi semalam, sementara beberapa anggota polis kelihatan berkawal dan melakukan siasatan di tempat kejadian (gambar kecil).

KUCHING: Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Wong Soon Koh tidak menolak insiden kebakaran bilik mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu awal pagi semalam angkara perbuatan khianat.

“Ia tidak boleh berlaku secara kebetulan dan saya mengutuk perbuatan ini.

“Ini bukan cara yang betul untuk menyatakan rasa tidak puas hati… apa pun kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat mahu polis segera melakukan siasatan dan memberkas mereka yang bertanggungjawab.

Pada masa sama beliau mempersoalkan tahap keselamatan di ibu pejabat SUPP itu yang menurutnya agak lemah.

“Pengurusan mesti meningkatkan tahap keselamatan di situ kerana ia adalah bangunan ibu pejabat parti,” tambahnya.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa sebagai ahli parti berasa sedih dengan kejadian yang berlaku lantas meminta agensi bertanggungjawab menyiasat punca sebenar insiden tersebut.

“Siasatan perlu dibuat dan diumumkan supaya umum tahu punca sebenar kebakaran,” kata Dr Rayong yang juga bekas anggota CWC parti.

Timbalan Presiden Datuk Richard Riot Jaem pula enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dengan alasan ia masih dalam siasatan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan insiden itu pada jam 3.15 pagi, disusuli dua jentera bomba dari Balai Bomba Padungan bergegas ke tempat kejadian.

Api berjaya dikawal pada jam 4.30 pagi dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.10 pagi.

Bekas Setiausaha Agung Datuk Sim Kheng Hui dan penggantinya Prof Dr Sim Kui Hian antara orang pertama tiba di tempat kejadian setelah dimaklumkan mengenainya.

Menurut Kheng Hui kebakaran itu telah memusnahkan sepenuhnya bilik mesyuarat CWC serta beberapa dokumen penting.