Tuanku Abdul Halim Yang di-Pertuan Agong ke-14

0

ANGKAT SUMPAH: Sultan Muhammad V Tuanku Faris Petra mengangkat sumpah jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Istiadat Khas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-227 di Istana Negara Jalan Duta di ibu negara semalam. Kelihatan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (kiri) serta Mohd Khalil Yaakob (kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah semalam melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima ta­hun berkuat kuasa semalam, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan se­bagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 kelmarin.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam ka­langan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Mer­deka pada 31 Ogos, 1957.

Istiadat semalam merupa­kan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Is­lam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 Nov lepas.

Upacara bermula pada jam 11.15 pagi dengan Me­syuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajud­din Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pen­dek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian mela­fazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hada­pan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi saksi.

Istiadat semalam juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Ia diikuti bacaan doa dip­impin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetap­kan.

Ini disusuli istiadat menan­datangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Istiadat diteruskan den­gan Sultan Muhammad V menandatangani surat peng­isytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca peng­isytiharan tersebut.

Istiadat semalam dihad­iri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Te­menggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Turut hadir kesemua em­pat Yang di-Pertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan.

Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Tuanku Abdul Halim ke­mudian menerima meng­hadap menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan yang diketuai oleh Najib di Bilik Seri Mahkota. — Bernama