Generasi muda perlu manfaat peluang pendidikan diperkenal kerajaan: Talib

0

KENANGAN:Talib (belakang dua kanan) dan Dr Peter bergambar bersama tetamu kehormat dan penerima hadiah ‘Love-In-A-Box’.

KUCHING: Generasi muda masa kini perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang telah diperkenalkan kerajaan.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata, terdapat  pelbagai peluang pendidikan seawal di bangku prasekolah telah diperkenalkan kerajaan seiring dengan arus kemajuan di negara ini.

Justeru beliau menganggap generasi muda masa kini adalah generasi yang bertuah kerana telah disediakan pelbagai kemudahan.

“Anak-anak kini adalah generasi yang bertuah kerana bukan sahaja disediakan prasekolah malah universiti dan kolej-kolej kini juga lebih banyak jika dibandingkan dengan generasi dahulu.

“Ini membuktikan negara kita sudah maju di mana peluang-peluang pekerjaan juga sudah meningkat cuma kita mahu generasi masa kini bijak memanfaatkan peluang-peluang tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Love-In-A-Box anjuran Perbadanan Pambangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini semalam.

Sementara itu, Talib yang juga Pengerusi SEDC telah menyampaikan 171 hadiah ‘Love-In-A-Box’ kepada kanak-kanak dari Kampung Sinar Baru pada majlis yang diadakan di Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke (RCBM).

Hadiah-hadiah tersebut adalah sumbangan daripada SEDC, Zecon Sdn Bhd dan Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Love-In-A-Box ini merupakan antara program kemasyarakatan SEDC yang telah dimulakan sejak tahun 2000 sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat SEDC.

“Antara hadiah yang diberikan adalah buku sekolah, alat-alat tulis, baju seragam sekolah dan banyak lagi,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Perubatan Hospital Peringatan Rajah Charles Brooke (RCBM) Dr Peter Bong.