PIS akan meraikan 160 kanak-kanak kurang bernasib baik

0

KUCHING: Pertubuhan Insurans Sarawak (PIS) akan mengadakan Parti Krismas bagi meraikan 160 kanak-kanak kurang bernasib baik di negeri ini.

Menurut Presiden PIS Datuk Patrick Liew, acara itu merupakan aktiviti tahunan yang kelapan diadakan sebagai tanggungjawab sosial korporat dalam menjaga kebajikan kanak-kanak di Sarawak.

“Aktiviti itu akan diadakan pada Sabtu ini (17 Disember) di Hills Shopping Mall melibatkan 160 kanak-kanak daripada enam pertubuhan yang kami jemput,” katanya pada sidang media di Delifrance, Hills Shopping Mall semalam.

Jelasnya, enam pertubuhan itu adalah PERKATA, Salvation Army, Sarawak Cheshire Home, Persatuan Kanser Kanak-kanak Sarawak, Persatuan Thalassemia Sarawak dan Persatuan Autistik Sarawak.

Tambahnya, program itu dianjurkan bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kebajikan golongan yang kurang mampu terutama kanak-kanak.

“Kami juga mengalu-alukan lebih banyak lagi NGO (pertubuhan bukan kerajaan) terlibat dalam program kebajikan seperti ini pada masa depan,” kata Patrick.

Selain itu, katanya PIS turut menganjurkan kempen derma darah pada tarikh yang sama bermula 10 pagi hingga 2 petang.

“Malah kami turut menyediakan pemeriksaan tekanan darah secara percuma pada kempen itu kelak,” ujarnya.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah jerayawara Intel Enter Aje! pada 16 hingga 18 Disember bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam,  drama dan Krismas Carol (7-9 malam) pada 18 Disember.

Hadir sama Pengurus Besar Hills Shopping Mall Gabriel Hii dan Setiausaha PIS Tommy Li.