Pasar Raya Sing Kwong Salim lancar Kempen Penurunan Harga

0

TINJAU HARGA: Wan Uzir ketika melakukan tinjauan harga barangan keperluan harian pengguna di Pasar Raya Sing Kwong Salim, petang kelmarin.

SIBU: Pasar Raya Sing Kwong Salim membawa berita gembira kepada penduduk bandar Sibu dengan pelancaran Kempen Penurunan Harga yang bermula 14 Disember 2011 hingga 31 Januari 2012.

Pelancaran kempen itu disifatkan sebagai petanda baik berikutan kenaikan harga barang dan kempen melibatkan pelbagai jenis barang keperluan pengguna.

Majlis pelancaran kempen telah disempurnakan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, kelmarin.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee, Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Balraj Singh dan Pengarah Urusan Pasar Raya Sing Kwong Salim Tang Kuok King.

Pelancaran kempen merupakan satu usaha kerjasama antara Pasar Raya Sing Kwong Salim dengan kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sibu.

Selain itu, tujuan lain penganjuran kempen adalah untuk membantu merancak dan menggalakkan urus niaga tempatan dalam usaha menghadapi tekanan ekonomi yang tidak menentu.

Kempen Penurunan Harga telah dilancarkan di pasar raya besar seperti Mydin, Giant, Carrefour, Tesco dan The Store di seluruh negara pada Oktober 2008.

Kempen turut membantu mengukuhkan ekonomi negara secara sukarela untuk tempoh sepanjang tahun secara berulang dan dijayakan dalam satu kali pelancaran sahaja.

Penyertaan adalah melibatkan pelbagai kategori seperti peniaga tekstil, restoran, pasar raya dan pasar mini. Ia turut melibatkan lebih kurang 300 jenis barang keperluan harian.