Pendaftaran PATI, pekerja asing sehingga 31 Disember

0

ROBERT LIAN

Lanjutan tempoh bagi membolehkan mereka mendaftar sebelum penguatkuasaan dilakukan, tegas Robert

KUCHING: Kerajaan sekali lagi membuka peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini untuk mendaftarkan diri, dengan melanjutkan tempoh program pendaftaran PATI serta pekerja asing sah sehingga 31 Disember ini.

Peng a r ah Imigresen Sarawak Datu Robert Lian berkata, peluang dua minggu dari sekarang itu bagi membolehkan PATI dan majikan yang terlibat tampil mendaftar sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan.

“Dengan ini kami menyeru kepada mereka termasuk majikan atau mana-mana individu melindungi atau menggaji PATI di premis, ladang, kilang atau kebun tampil segera.

“Jangan tunggu hingga saat akhir kerana fasa penguatkuasaan akan dilaksanakan di seluruh Sarawak,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketuaketua imigresen bahagian di sini, semalam.

Menurut beliau, dianggarkan terdapat kira-kira 50,000 PATI di seluruh Sarawak namun sehingga 13 Disember 2011 hanya 14,763 orang PATI telah mendaftar di 11 pusat pendaftaran di seluruh negeri.

Justeru beliau menggesa agar PATI dan majikan tampil segera sementara kerajaan masih membuka peluang kepada mereka.

Robert menjelaskan daripada 14,763 PATI yang mendaftar warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi seramai 13,807 diikuti Bangladesh (419), Filipina (403), China (53), Thailand (27), Pakistan (21), India (tujuh), Kemboja (10), Myanmar (empat), Vietnam (tiga), Nigeria (tiga), Sri Lanka (dua), New Zealand (dua), Taiwan (satu) dan Singapura (satu).

Daripada pendaftaran yang dijalankan mendapati sektor perladangan mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 8,433 orang yang diikuti sektor perkilangan atau pembuatan (1,606).

Selain itu beliau berkata bagi PATI yang tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan, mereka dinasihatkan segera menghubungi perwakilan atau konsulat negara masing-masing.

Katanya, beliau juga difahamkan bahawa ada majikan yang telah berhubung dengan perwakilan atau konsulat negara asing bagi membantu pekerja-pekerja mereka.

Berhubung pendaftaran pekerja asing sah di Sarawak, Robert memberitahu ia mencatatkan seramai 99,584 orang sehingga 13 Disember 2011.

“Kita berharap semasa tarikh tutup lanjutan nanti, ia mampu mencapai angka 100,000 bagi pekerja asing sah,” tegasnya.