Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di Sg Rajang

0

CARI MANGSA: Pihak bomba kelihatan berusaha mencari mangsa yang di-khuatiri lemas.

SARIKEI: Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Nazfarizal Azmi, 19, dari Penempatan Semula Kampung Baru Sarikei pada masa kejadian sedang mandimanda di Sungai Rajang bersama adiknya dan enam rakannya yang lain.

Penghulu Awang Ahmad yang menjadi ketua masyarakat di kawasan terbabit ketika dihubungi pemberita berkata, kejadian itu berlaku lebih kurang jam 1 petang kelmarin.

“Semasa kejadian itu berlaku mangsa sedang mandi-manda di sungai dan secara tiba-tiba dia se-perti ditarik oleh sesuatu dari dalam sungai mengakibatkannya kelihatan tenggelam timbul beberapa kali.

“Adik mngsa berusaha menarik tangan abangnya yang terkapai-kapai itu tetapi usahanya itu gagal berikutan arus sungai tersebut agak deras ketika kejadian itu berlaku,” katanya, mengulas lanjut berdasarkan cerita yang disampaikan bapa saudara mangsa kepadanya semalam.

Sementara Pegawai Balai Bomba Kanan 1 Salim Hussein daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 1.33 petang kelmarin.

“Hari ini (semalam) merupakan hari kedua operasi mencari dan menyelamat mangsa dilancarkan dan operasi ini melibatkan beberapa pihak seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan penduduk setempat.

“Hasil laporan yang kami terima daripada keluarga mangsa ketika kejadian itu berlaku mangsa tidak memakai sebarang baju dan hanya berseluar panjang hitam,” katanya.

Sehingga jam 5 petang semalam, usaha mencari mangsa masih belum berhasil dan gerakan mencari mangsa masih lagi diteruskan.