PPR pangsapuri sewa di Batu Gong dapat didiami suku pertama 2012

0

SIBURAN: Progran Perumahan Rakyat (PPR) pangsapuri sewa di Batu Gong di sini dijangka dapat didiami menjelang suku pertama tahun depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata projek yang keseluruhannya sudah siap 95 peratus itu hanya tinggal untuk pemasangan bekalan elektrik sahaja.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan projek ini cuma saya mahu mereka menyiapkan projek seperti yang dijadualkan kerana ia telah tertangguh sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada kontraktor PPR Batu Gong iaitu Debessa Development Sdn Bhd mengenai perkembangan projek itu di sini, semalam.

Projek membina dan menyiapkan 500 unit rumah pangsa lima tingkat itu kata beliau sepatutnya disiapkan pada tahun ini.

Bagaimanapun pihak kontraktor memohon supaya kerja-kerja pembinaan dilanjutkan tempoh selama enam bulan, iaitu sehingga November lepas.

“Selepas tempoh enam bulan juga, mereka masih gagal dan mahu tempoh dilanjutkan dengan tambahan tiga bulan.

“Ini bermakna mereka perlu menyiapkannya sehingga suku pertama tahun depan,” tegas beliau.

Abang Johari yang juga Menteri Pembangunan Bandar berkata pangsapuri yang bernilai RM43 juta itu mula dibina pada 2006 dan dibahagikan kepada 11 blok.

Pangsapuri yang disediakan sebagai kemudahan sewa kediaman kepada penduduk luar bandar yang bekerja di bandar itu menawarkan bayaran RM180 yang merangkumi sewa RM150 dan RM30 sebagai kos penyelenggaraan.

“Pangsapuri ini mempunyai tiga bilik dan di Batu Gong sebanyak 1,500 bilik kesemuannya dan kita berharap kontraktor mampu menyiapkan dalam tempoh tiga bulan ini,” kata beliau.

Projek mereka bentuk, membina dan menyiapkan pangsapuri itu dibangunkan oleh Jabatan Perumahan Negara dan akan diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sejurus sahaja ia siap dibina.

Abang Johari memberitau sehingga kini kira-kira 16,000 keluarga menghuni pangsapuri sewa sedia ada di seluruh Sarawak dan majoriti dari Miri diikuti Bintulu dan Kuching.