Ramai setuju pemasangan parabola: Yee

0

KOTA KINABALU: Ramai penduduk di negeri ini bersetuju agar prinsip kebebasan untuk mendapatkan maklumat melalui pemasangan parabola besar perlu dijalankan.

TERIMA KASIH...Yee (empat kiri) menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada salah seorang penerima sempena karnival berkenaan sambil diperhatikan oleh tetamu jemputan yang lain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Yee Moh Chai berkata daripada undian yang dibuat melalui internet, hampir 99 peratus undian setuju terhadap perkara berkenaan.

Pihaknya mendapati keputusan itu memberikan satu mesej penting yang mana mereka perlu menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

“Saya akan memaklumkan kepada kerajaan negeri mengenai pentingnya penggunaan piring parabola di negeri ini termasuk membincangkan perkara berkaitan pengawalan pengedaran perkhidmatan terbabit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Pelancaran Karnival ‘Siok Bah Broadband’ Peringkat Negeri Sabah 2011 di sini kelmarin.

Yee berkata, pihaknya juga akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada pihak lain yang berkenaan.

Mengenai undang-undang berkaitan kawalan pengedaran khidmat parabola, beliau akan pastikan ia dipinda mengikut keperluan dan keadaan di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tambahnya, tidak dinafikan Sabah sememangnya menjadi fokus utama pembangunan industri komunikasi terutamanya dalam meningkatkan kadar penembusan jalur lebar agar setara dengan negeri-negeri lain.
Justeru, beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan para syarikat pemberi perkhidmatan akan terus berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan prasarana Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) di Sabah.

“Usaha itu bagi membantu agar liputan dan capaian perkhidmtan telekomunikasi dan jalus lebar akan terus meningkat.

“Kerajaan turut melaksanakan beberapa pelan tindakan untuk menjayakan usaha ini termasuklah penambahan infrastruktur telekomunikasi, mewujudkan Pusat Jalur Lebar Komuniti dan Kampung WiFi,” jelasnya.

Tambahnya, SKMM bersama industri telekomunikasi juga sedang membuat migrasi stesen-stesen selular daripada yang berteknologi 2G kepada 3G.

Karnival anjuran SKMM itu turut mendapat kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dan kerajaan negeri.

Yee berkata, karnival itu turut menyampaikan komputer riba 1Malaysia kepada penduduk yang layak.

Katanya, kini hampir 60,000 komputer riba diedarkan kepada pelajar dan golongan sasar di negeri ini sekaligus turut mendapat kemudahan capaian internet.

Ia katanya, memberi potensi yang besar dalam penambahbaikan status pendidikan, ekonomi dan sosial mereka yang menggunakannya untuk tujuan positif.