Site Last Updated 2:37 am, Friday

Pangkat ACP dicadang untuk ketua agensi polis bantuan

Posted on December 21, 2011, Wednesday

Kenaikan pangkat akan memperluaskan peranan pasukan

GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mencadangkan supaya pangkat ketua agensi polis bantuan dinaik taraf kepada Asistan Komisioner Polis (ACP) berbanding Superintenden ketika ini.

Beliau berkata untuk tujuan itu, peruntukan sedia ada dalam Akta Polis perlu dipinda dan sehubungan itu beliau akan membincangkan mekanisme bagi merealisasikan cadangan itu dengan pihak Kementerian Dalam Negeri.

“Akta Polis ini memberi kuasa kepada Ketua Polis (Negara) untuk menaikkan pangkat (pegawai) agensi di bawahnya tetapi saya akan membincangkan mekanisme ini dengan Kementerian dalam negeri sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Ismail berkata peruntukan sedia ada dalam akta itu hanya membenarkan ketua polis bantuan memegang pangkat superintenden (Supt), iaitu pangkat yang tertinggi dalam polis bantuan.

Kenaikan pangkat itu perlu kerana peranan yang bakal dimainkan oleh polis bantuan akan menjadi lebih luas bagi mencegah jenayah, katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Agensi Polis Bantuan ke-23 di sini semalam.

“Saya bersedia untuk menaikan pangkat ketua-ketua agensi ini supaya mereka akan mampu memimpin anggota mereka dengan lebih bersemangat dalam membantu PDRM membanteras jenayah,” katanya.

Katanya, beliau yakin kenaikan pangkat ketua agensi polis bantuan akan dapat dilaksanakan pada awal tahun depan dengan dimulakan dengan agensi yang mempunyai lebih 1,000 anggota.

Beliau berkata antara agensi yang mempunyai jumlah anggota sedemikian adalah Petronas, Sunway Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ismail berkata setakat ini terdapat lebih 13,000 polis bantuan di seluruh negara dan PDRM telah menjalin kerjasama yang baik dengan agensi itu untuk membanteras jenayah.

“Kami akan teruskan bekerjasama dengan agensi-agensi seperti tentera, polis bantuan dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dalam usaha untuk kurangkan jenayah pada 2012,” katanya. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.