117 petani di Bachok terima bantuan

0

BACHOK: Seramai 117 petani di Kampung Seneng, Jelawat disini yang mengalami kerugian lebih RM100,000 setelah tanaman mereka rosak akibatpenyakit dan banjir baru-baru ini, menerima wang ihsan berjumlah RM58,500 bagi meringankan beban mereka.

Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Kawasan Parlimen Bachok, Datuk Dr Ilias Hussin berkata, setiap seorang menerima RM500 bagi membantu mereka mengusahakan tanaman padi dan buah-buahan untuk musim akan datang.

“Tanpa bantuan itu sukar bagi mereka untuk mengerjakan tanaman akan datang,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian bantuan itu di Kampung Seneng  semalam.

Ilias berkata, kebanyakan tanaman petani seperti padi, tembikai, lada dan timun, musnah akibat digenangi air hujan dan serangan penyakit karah.

Seorang petani Suhailan Che Man, 46, berkata, beliau mengalami kerugian RM12,000 apabila tanaman tembikai yang diusahakannya di kawasan seluas dua rosak  akibat hujan yang berlebihan.

Ibrahim Che Mat, 58, pula berkata, tanaman padi yang diusahakannya seluas satu hektar di luar musim lepas, musnah kerana serangan penyakit karah menyebabkan beliau mengalami kerugian lebih RM8,000. — Bernama