1,640 unit komputer riba diagih di Lubok Antu 2012

0

SELAMAT DATANG: Nyalau (tengah) dan Dr Rayong (kiri) semasa tiba pada majlis itu semalam.

ENGKILILI: Sebanyak 1,640 unit komputer riba akan diagihkan kepada rumah panjang di kawasan Parlimen Lubok Antu pada tahun depan.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, sebuah rumah panjang sama ada akan mendapat satu atau dua unit komputer riba, bergantung kepada bilangan keluarga yang menghuni sesebuah rumah panjang itu.

Menurutnya, tujuan komputer riba diberi secara percuma kepada penduduk rumah panjang adalah untuk mendekatkan penghuni rumah panjang dengan alam siber.

“Saya akan agihkan komputer riba tahun depan dengan tujuan mendekatkan penghuni rumah panjang dengan kecanggihan kemudahan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Bahagian Sri Aman anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di Rumah Anggang, Nanga Mejong, Ulu Skrang, di sini, semalam.

Sementara itu, Nyalau memberitahu bahawa 1,400 unit komputer riba akan diagihkan kepada pelajar sekolah menengah di kawasan Parlimen Lubok Antu tahun depan.

Beliau berkata, ini adalah pemberian secara percuma kedua untuk diagihkan kepada pelajar yang belum menerimanya sebelum ini.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) amat bersungguh-sungguh membantu rakyat dan pelajar di kawasan luar bandar,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat terutama di kawasan Parlimen Lubok Antu agar memberi sokongan padu calon BN pada Pilihan Raya Umum nanti.

“Saya bersedia mempertahankan Parlimen Lubok Antu, maka berilah sokongan kepada saya nanti  sekiranya saya diberi tanggungjawab untuk mengibarkan bendera BN,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Cassiddy Morris, Pegawai Penerangan JASA Parlimen Sri Aman Whelton Lumpoi, Pegawai Penerangan JASA Parlimen Lubok Antu Geoffery Baja Ricky Maba dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.