Saturday, August 13

Bilik Operasi Banjir akan dibuka di Matu

0

MATU: Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Matu akan membuka Bilik Operasi Banjir dalam masa terdekat ini.

Pengerusinya Habari Bakar berkata, ia perlu sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul akibat banjir susulan pengaruh cuaca yang tidak menentu sehingga hujung tahun ini.

“Saya berharap penduduk terutama yang berada atau mendiami kawasan rendah yang berisiko banjir sentiasa berwaspada ketika berhadapan bencana tersebut.

“Banjir tidak dapat dielakkan sekiranya cuaca buruk berterusan, ditambah air pasang besar yang dijangka berlaku sekitar pertengahan Disember ini hingga awal Januari tahun depan,” katanya.

“Sehubungan itu, saya berharap penduduk dapat menyimpan segala barang dan dokumen penting di tempat selamat dan mudah dicapai sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” kata Habari.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada keluarga Abdul Rahman Yakub dari Kampung Bawang Matu yang kehilangan tempat berteduh susulan kebakaran yang memusnahkan kediaman keluarga itu pada 14 Disember lalu, semalam.

Ketika ini, keluarga Abdul Rahman menumpang sementara di salah sebuah rumah milik saudaranya.

Pada majlis itu, Habari menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada Abdul Rahman sekeluarga untuk meringankan beban mereka.

Sumbangan peribadi itu adalah daripada Ahli Parlimen Igan Datuk Abdul Wahab Dolah.

Keluarga Abdul Rahman turut menerima sumbangan yang dihulurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Matu berupa barang makanan dan peralatan dapur selain wang tunai RM300 daripada Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Matu.

Sehubungan itu, Abdul Rahman ketika ditemui di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Matu melahirkan rasa terharu atas simpati dan keprihatinan banyak pihak terutama Abdul Wahab Dolah.

“Jasa beliau dan semua pihak yang telah menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga akan kami kenang sampai bila-bila,” katanya.