Mangsa kemalangan dihantar pulang guna pesawat khas

1

PULANG...Jenazah mangsa yang terkorban dalam kemalangan Selasa lepas dibawa pulang menggunakan pesawat khas yang dihantar oleh Kerajaan Brunei Darussalam.

KOTA KINABALU:  Kesemua tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dari Brunei di Kilometer 8.9 Jalan Tamparuli-Ranau di Tuaran Selasa lepas dibawa pulang ke Brunei kelmarin.

Mangsa dibawa pulang oleh pesawat khas Royal Brunei yang dihantar oleh kerajaan Brunei pagi kelmarin.

Selain itu, seramai 13 mangsa yang mengalami kecederaan ringan turut dibawa pulang oleh pesawat khas jenis Air Bus 320 itu.

Pesawat yang berlepas kira-kira jam 12.30 tengahari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) Terminal 2 itu turut diiringi oleh Menteri Kewangan Dua Brunei, Pehin Orang Kaya Laila Setia, Datuk Seri Setia Abdul Rahman Ibrahim dan Pemangku Menteri Kesihatan Brunei, Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja, Datuk Paduka Hazair Abdullah.

Konsul Brunei di Sabah, Daud Tahir berkata kesemua 20 mangsa yang masih berada di negeri ini akan dibawa pulang ke Brunei secara berperingkat.

Katanya, pada petang ini sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Brunei dijadual membawa pulang sembilan mangsa yang mengalami kecederaan serius.

“Tiga orang lagi yang mengalami kecederaan kritikal dan ditempatkan di Pusat Rawatan Rapi juga akan dihantar pulang sekiranya keadaan mereka stabil.

“Bagaimanapun, seorang pembantu pemandu yang mengalami kecederaan serius tidak dapat dipastikan kerana masih perlu disoal siasat oleh pihak polis,” katanya ketika ditemui di LTAKK Terminal 2.

Sementara itu, Panglima Lima Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal berkata bantuan yang diberikan oleh Markas Kem Lok Kawi bagi menguruskan jenazah mangsa menunjukkan keakraban antara Malaysia dan Brunei.

“Selepas mengenalpasti kesemua mangsa yang meninggal dunia awal pagi tadi, kita siap menguruskan jenazah mangsa pada pukul 10 pagi sebelum dihantar ke Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu,” ujarnya.