Elak bumbung bot ekspres

0

SESAK: Kelihatan para penumpang sebuah bot ekspres dari Kapit turun di Terminal Penumpang Sibu, semalam.


Duduk di situ boleh menukar keriangan penumpang menyambut Krismas menjadi kedukaan

SIBU: Penumpang bot ekspres dan bot laju yang pulang ke kampung halaman masing-masing diingatkan agar tidak duduk di atas bumbung ketika perjalanan kerana tindakan itu boleh menukar keriangan mereka untuk menyambut Krismas menjadi kedukaan.

Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee berkata, tindakan duduk di atas bumbung bot ekspres atau bot laju ketika dalam perjalanan harus dielakkan sama sekali.

“Terdapat segelintir penumpang suka mengambil risiko dengan duduk di atas bumbung bot.

“Perbuatan ini harus dielakkan kerana mereka boleh terjatuh ke dalam sungai apabila bot terbabit dipukul ombak,” ujarnya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Terminal Penumpang Sibu, semalam.

Turut serta ialah pegawai daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sibu yang diketuai oleh Balraj Singh serta pengawai Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Wilayah Tengah.

Mengenai penggunaan jaket keselamatan, Sim mengandaikan semua bot ekspres dan bot laju mempunyai jaket keselamatan yang mencukupi bagi semua penumpang dan juragan bot.

Namun katanya, beliau tidak pasti bagi bot laju atau bot ekspres yang mengambil penumpang di tengah perjalanan.

“Bagi bot ekspres menuju ke Kapit, itu tidak menjadi masalah kerana bot ini tidak mengambil penumpang ketika dalam perjalanan,” ujarnya sambil menambah jika penumpang ramai, pengusaha bot akan menyediakan bot tambahan.

Berhubung cadangan orang ramai agar jaket keselamatan digunakan sepanjang masa ketika perjalanan, Sim memberitahu bahawa langkah itu mungkin sesuai bagi penumpang bot laju.

“Bagi penumpang bot ekspres ia mungkin tidak sesuai kerana semua tahu penggunaan jaket keselamatan ini boleh menyebabkan keadaan tidak selesa kepada penumpang, terutama bagi perjalanan yang jauh.

“Namun bagi yang tidak tahu berenang, adalah lebih baik jika mereka memakai jaket keselamatan ini sepanjang perjalanan,” jelas beliau.

Sim juga menasihati penumpang yang hendak pulang ke kampung halaman bagi menyambut Krismas agar berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri sendiri serta orang lain.

“Jangan tergesa-gesa atau berebut-rebut ketika hendak keluar dari bot ekspres. Berebut-rebut boleh menyebabkan penumpang lain atau kita sendiri terjatuh.

“Lebih-lebih lagi ketika musim hujan dan arus sungai agak deras, apa-apa kejadian yang tidak diingini boleh berlaku,” ujar beliau.

Tinjauan di Terminal Penumpang Sibu semalam mendapati keadaan agak sibuk dengan orang ramai yang hendak pulang ke kampung halaman masing-masing, terutama bagi mereka yang pulang ke Kapit dan Song.

Di samping itu, ramai juga yang datang ke Sibu untuk membeli-belah bagi menyambut Krismas dan Tahun Baru tidak lama lagi.

Bagaimanapun keadaan di terminal terkawal dengan adanya penguat kuasa LSS yang membantu mengawal situasi.