Tiga daerah dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan

0

EDAR RISALAH...Jeffry dibantu Herdiansah mengedarkan risalah-risalah keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya di Jalan Labuk, Sandakan kelmarin.

SANDAKAN: Tiga daerah di negeri ini dikenal pasti sebagai berprofil tinggi berlakunya kes kemalangan yang mendorong Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah dan agensi berkaitan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom terus memperhebatkan kempen keselamatan jalan raya terutama pada musim perayaan.

Pengarah JKJR Sabah, Herdianshah Abdul Karim, berkata statistik pada tahun lepas menunjukkan terdapat 10 kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian berlaku di Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Oleh itu, katanya usaha secara serampang dua mata perlu dilakukan memandangkan ketiga-tiga daerah itu berisiko tinggi dari segi berlaku kemalangan jalan raya.

Herdianshah berkata, bagi mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan, pihaknya sedang meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman kepada pengguna-pengguna jalan raya dengan cara mendidik serta meningkatkan tahap kesedaran melalui pelbagai pelaksanaan.

Katanya, pelaksanaan yang boleh meningkatkan kesedaran dan kefahaman kepada pengguna jalan raya adalah seperti mengedarkan risalah-risalah berbentuk panduan keselamatan di samping tips menjadi pemandu yang berhemah semasa berada di jalan raya.

“Hari ini (kelmarin), kami bersama-sama agensi kerajaan yang berkaitan seperti polis, JPJ dan Puspakom memperhebatkan lagi kempen keselamatan jalan raya menjelang musim perayaaan. Sebelum ini, kami telah pun melaksanakannya di Tawau dan Lahad Datu,” katanya selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Krismas Tahun 2011 bersama polis, JPJ dan Puspakom di jalan utama berhadapan pejabat Puspakom di Batu 8, Jalan Labuk, dekat sini kelmarin.

Hadir sama ialah Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Jeffry Haji Aman.

Beliau berkata, kempen yang sama juga turut ditumpukan di Kota Kinabalu dan kawasan pedalaman di negeri ini demi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan terutama kepada mereka yang seringkali membuat perjalanan jauh.

Di samping itu, katanya usaha secara serampang dua mata itu mampu meminimakan risiko mengurangkan kadar kemalangan memandangkan agensi kerajaan lain turut melaksanakan penguatkuasaan masing-masing.

“Dengan pendekatan sedemikian, usaha mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya dapat kita lakukan kerana agensi-agensi berkaitan turut melaksanakan penguatkuasaan mereka,” katanya.

Pada majlis itu, Herdiansah dan Jeffry dibantu beberapa pegawai dari agensi berkaitan telah mengagih-agihkan risalah kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan utama itu.