Site Last Updated 9:26 am, Wednesday

Gadis terpaksa jadi ketua keluarga tanggung 3 adik

Posted on December 27, 2011, Tuesday

BANDAR BAHARU: Setelah kematian kedua-dua ibu bapanya dalam tempoh 10 bulan, seorang gadis berusia 20 tahun kini terpaksa memikul tugas sebagai ketua keluarga dengan menanggung tiga orang adiknya sejak November lalu.

Nur Sabirah Mohd Tamize, seorang pekerja kilang di Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan terpaksa menyara tiga orang adiknya, dengan dua daripada mereka masih bersekolah.

Gadis yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu terpaksa mengambil alih tugas menyara tiga adiknya Nur Sabihah, 16, yang berhenti sekolah sebelum sempat mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Norsyafika, 12, yang akan menduduki Tahun Enam pada tahun ini dan Mohd Danial Zulfahrin, 4, yang akan memulakan persekolahan Januari depan di Kelas Prasekolah.

Nur Sabirah yang ditemui di rumah mereka di Kampung Bagan Samak di sini semalam berkata, bapa mereka Mohd Tamize Osman, 47, meninggal dunia akibat ketumbuhan di otak pada 5 Jan lalu.

“Ibu, Azlina Awang, 43, pula meninggal dunia akibat diabetik dan hipertensi pada 18 Nov lalu. Ayah adalah seorang tukang rumah semasa hidupnya sementara ibu pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa berhenti kerja setelah ayah sakit,” katanya.

Mujurlah dalam menghadapi masalah tersebut kedua-dua ibu bapa mereka sempat membina sebuah rumah yang sederhana besarnya di tanah pusaka keluarga itu untuk empat beradik itu tinggal dan berteduh daripada panas dan hujan.

Bapa saudara dan jiran kepada anak yatim piatu empat beradik itu, Abdul Malik Abdul Rahman, 62, berkata beberapa hari selepas kematian ibu mereka, ada juga yang manyatakan hasrat untuk mengambil adik bongsu mereka Mohd Danial Zulfahrin dan Nursyafika untuk dibela sebagai anak angkat tetapi Nur Sabirah enggan melepaskan mereka.

Sementara itu sekumpulan anggota Alumni Sijil Rendah Pelajaran (SRP) 1980 Sekolah Menengah Agama Sultan Izzuddin Shah (SMASIS), Ipoh, Perak, hadir di rumah Nur Sabirah bagi mengkaji latar belakang keempat-empat beradik itu dan mereka bersetuju untuk menjadikannya sebagai anak angkatnya.

Wakil kumpulan itu, Roslan Mohd Husin, 46, berkata program anak angkat itu yang merupakan projek perintis kumpulan yang dianggotai hampir 100 orang itu, akan berusaha membantu meningkatkan tahap persekolahan Norsyafika serta Mohd Danial Zulfahrin untuk masa depan yang lebih baik serta terjamin.

“Sasaran kami akan sedaya upaya memberi dorongan dan galakan kepada Norsyafika supaya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 ini, selain turut membantu masalah kewangan yang dihadapi mereka,” katanya.

Katanya, kumpulan tersebut berjaya mengumpul RM900 sebagai bantuan permulaan untuk membeli pakaian dan peralatan belajar bagi dua beradik yang akan memulakan persekolahan tidak lama lagi.

Wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu yang juga salah seorang anggota alumni berkenaan Helmi Abdul Khan yang turut hadir di rumah tersebut berkata pihaknya akan memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu supaya menambah bantuan kepada dua beradik itu daripada RM100 sebulan kepada RM150 seorang.

Helmi berkata Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Malaysia (Jasa) Parlimen Kulim/Bandar Baharu Rohana Che Din juga bersetuju menyumbangkan secara peribadi bayaran tuisyen bulanan kepada Norsyafika bagi menghadapi UPSR.

Orang ramai dan mereka yang bersimpati dengan kedaifan hidup empat beradik itu bolehlah menghulurkan sumbangan mereka melalui akaun Nur Sabirah Mohd Tamize Bank CIMB No: 07310014578522 atau menghubunginya di talian 013-4638904. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.