NGO penyokong BN diminta lebih lantang

0

Mereka majoriti yang senyap, tetapi penyokong pembangkang lantang biarpun minoriti

KUALA LUMPUR: Badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha Barisan Nasional (BN) memperjuangkan kepentingan rakyat perlu lebih lantang bersuara dalam menyatakan sokongan mereka, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata banyak NGO di negara ini menyokong BN, bagaimanapun mereka lebih suka menjadi majoriti senyap dan bersikap “tunggu dan lihat”.

“NGO penyokong pembangkang suka menjadi kumpulan minoriti yang lantang,” katanya sambil menambah NGO yang menyokong kerajaan janganlah pula terlalu lantang sehingga menimbulkan kesan negatif.

“BN perlukan sokongan pelbagai pihak dan sokongan NGO kita lihat antara yang terpenting dalam perjuangan kita untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Muafakat 1Malaysia anjuran Permuafakatan Majlis  Ayahanda Malaysia (PERMAS) yang dihadiri 15 NGO di sini semalam.

Ditanya adakah beliau melihat Angkatan Amanah Merdeka yang diketuai veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah, sebagai NGO penyokong BN, Ahmad berkata Tengku Razaleigh merupakan kawan rapat BN.

“Tengku Razaleigh juga Ketua UMNO Bahagian (Gua Musang) dan anggota Parlimen BN. Tanpa saya menyebut lanjut mengenai perkara itu, tentunya nama beliau adalah sebahagian daripada kepimpinan UMNO dan BN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad mengingatkan semua anggota UMNO supaya melandaskan usaha memperjuangkan kepentingan rakyat kepada berdasarkan kekuatan parti dan bukan kelemahan parti lawan.

“Jangan bila kita tengok parti lawan lemah dengan pelbagai masalah dalaman baru kita hendak bergerak bantu rakyat dan jangan kita mendabik dada kerana kita lihat mereka lemah.

“Kita mesti sentiasa memperjuangkan rakyat setiap masa, bukan bermusim. Ini mesti kita utamakan bagi memastikan nasib rakyat terbela dan menyokong usaha kita,” katanya. — Bernama