Monday, April 12

MPS, MDLBS perlu letak petunjuk paras banjir

0

SIBU: Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng berkata, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) perlu meletakkan petunjuk paras banjir di kawasan yang dijangka terjejas memandangkan musim banjir kian tiba.

Petunjuk tersebut ujar beliau, amat penting untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Tindakan awal dari sekarang amat penting sebagai peringatan kepada orang ramai, sebelum berlakunya kejadian tidak diingini,” ujar beliau

Sebelum ini, kedua-kedua pihak berkenaan pernah mendirikan petunjuk tersebut sebelum ketibaan musim banjir lagi.

Malangnya pada kali ini ujar beliau, masih belum ada sebarang petunjuk didirikan di kawasan seliaan mereka biarpun musim banjir kian menghampiri.

Wong memberitahu, kedua-dua majlis tempatan berkenaan tidak perlu menunggu berlaku kejadian tidak diingini, baru petunjuk tersebut didirikan.

“Kalau dibiarkan tidak diberi petunjuk kepada orang ramai…ia sesuatu yang tidak sihat kerana nyawa orang awam boleh terancam,” jelas beliau.