Tanah runtuh, jalan ditutup

1

TERUK: Keadaan jalan raya tersebut sebelum kerja-kerja membaik pulih bermula.

KM 77 Jalan Serian-Sri Aman ditutup untuk kenderaan berat hingga baik pulih selesai

SERIAN: Jalan Trans Borneo    iaitu di Kilometer (KM) 77 Jalan Serian-Sri Aman ditutup untuk kenderaan berat ekoran kejadian tanah runtuh sehingga kerja-kerja membaik pulih jalan raya tersebut selesai.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng berkata, sebagai alternatif lain, semua kenderaan berat yang mengunakan laluan tersebut  diminta menggunakan Jalan Slabi, Serian di KM 62.

“Kejadian ini berlaku sekitar jam 8 malam semalam (27 Disember) di mana sepanjang 100 meter jalan raya ini telah runtuh serta mendap kira-kira 3 meter.

“Ekoran itu, buat masa ini mereka yang akan melalui laluan ini khususnya kenderaan berat diminta menggunakan laluan alternatif lain iaitu melalui sebuah jalan yang kira-kira lapan kilometer lebih jauh dari laluan asal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat lokasi tanah runtuh tersebut, di sini semalam.

Yong juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar memastikan kerja-kerja membaik pulih jalan dapat dipercepatkan.

“Saya mengharapkan kerja-kerja membaiki jalan ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ini merupakan laluan utama yang menghubungkan seluruh bahagian di negeri ini.

“Di samping itu, saya mengharapkan kerjasama daripada semua pihak kerana kita tidak mahu kerja-kerja membaik pulih jalan ini mengambil masa yang lama kerana ia akan memberi kesan buruk kepada rakyat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya akan membina satu lencongan bagi me-mudahkan pergerakan kenderaan.

“Saya dimaklumkan, satu lencongan di bahagian tepi jalan akan dibina dan dijangka siap dua hingga tiga hari lagi sementara menunggu jalan raya ini diperbaiki,” katanya.

Bercakap mengenai punca runtuhan tersebut, Yong menyifatkan runtuhan tersebut adalah berpunca daripada sistem saliran air jalan raya tersebut.

“Ini adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana selalunya runtuhan tanah adalah di kawasan yang bercerun atau di lereng bukit tetapi keadaan itu adalah berbeza di sini di mana kalau dilihat di sini tidak ada cerun dan lereng bukit.

“Kerana itu saya menjangkakan punca kejadian adalah daripada saliran air jalan raya ini… disebabkan itu perlunya satu saliran air yang sempurna seperti sistem perparitan kerana sering juga runtuhan tanah berpunca daripada saliran air,” katanya.

Jalan berkenaan telah ditutup untuk laluan semua kenderaan sejak malam kejadian dan dibuka semula sekitar jam 12 tengah hari semalam hanya untuk kenderaan ringan.

Sementara kenderaan berat masih dihalang untuk menggunakan laluan tersebut dan diminta menggunakan laluan yang telah ditetapkan.