Home - Utusan Borneo - Berita Tempatan - Tun Salahuddin dan isteri hargai kakitangan Astana Negeri

Tun Salahuddin dan isteri hargai kakitangan Astana Negeri

Posted on January 1, 2012, Sunday

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah malam kelmarin menghadiri majlis makan malam sempena Malam Penghargaan 2011 untuk kakitangan Pejabat Astana Negeri di Dewan Besar Astana Negeri.

CEMERLANG: Tun Salahuddin (dua kiri) menyampaikan Sijil Cemerlang 2011 kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Toh Puan Norkiah (tiga kiri) dan Khir (kiri).

Sebelum majlis dimulakan, Setiausaha Sulit Yang di-Pertua Negeri Khir Busrah menyampaikan ucapan dan menyeru semua kakitangan Astana Negeri supaya bekerja dengan penuh tanggungjawab, ikhlas, jujur dan mempunyai disiplin tinggi menjaga imej Astana di mata masyarakat luar.

Dalam pada itu, beliau juga berharap semua kakitangan Astana memupuk jiwa kerja penyayang semasa menjalankan tugas bagi melahirkan keceriaan dalam bekerja.

Manakala kakitangan yang berjaya dicalonkan mendapat cemerlang tahun ini (2011) perlu terus menunjukkan sikap kerja terbaik dan terus maju pada masa akan datang, katanya.

Lebih 250 tetamu menghadiri majlis tersebut dan pelbagai acara diadakan termasuk penyampaian Sijil Cemerlang 2011 kepada 10 kakitangan Pejabat Astana Negeri yang menunjukkan prestasi kerja memuaskan sepanjang 2011.

Comments are closed.