Site Last Updated 4:35 pm, Monday

14 orang dicekup berkhalwat pada malam tahun baru

by Ruzaini Zulkifli. Posted on January 2, 2012, Monday

PUTATAN: Tujuh pasangan berjaya dicekup kerana berkhalwat di daerah Putatan dalam satu operasi Mencegah Maksiat Bersepadu Untuk Tahun 2012 awal pagi kelmarin.

Seorang wanita yang dipercayai melakukan khalwat bersama pasangannya dibawa ke van sebelum disoal siasat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Putatan.

Seramai 34 petugas menyertai operasi berkenaan yang terdiri daripada kakitangan Majlis Daerah Putatan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) bermula jam 11.45 malam hingga 3 pagi.

Seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 40an dan telah dibawa ke Bilik Gerakan Pejabat Daerah untuk siasatan.

Pasangan yang ditahan di beberapa lokasi termasuk Teluk Dumpil, persisiran pantai Lok Kawi dan beberapa hotel bajet di daerah ini.

Menurut Pegawai Tadbir Agama Jheains Putatan,  Jadmin Mohamed Soon, tujuan operasi dilakukan adalah bagi mengurangkan pelakuan maksiat di sekitar daerah ini.

“Pasangan-pasangan yang ditahan adalah berdasarkan keadaan mencurigakan dan difahamkan melakukan aktiviti khalwat ketika tahun baru.

“Ingin diingatkan kepada masyarakat Muslim khususnya agar tidak melakukan maksiat kerana ianya adalah berdosa dan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah syariah maka mereka akan didakwa.

“Operasi tidak akan berakhir di sini saja, ia akan berterusan lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Jadmin berkata, kesemua yang ditangkap akan disiasat mengikut Seksyen 84 Enakmen Kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.

”Operasi cegah maksiat ini adalah untuk mencegah umat Islam daripada melakukan maksiat. Operasi seumpama ini sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya.

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.