HWKK Likas sambut 19 bayi tahun baru

0

KOTA KINABALU: Sempena tahun baru 2012, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Likas mencatatkan sebanyak 19 kelahiran bayi tahun baru.

ANAK PERTAMA ... Kegembiraan jelas kelihatan pada wajah Allen dan Margareth dengan kelahiran anak pertama mereka.

Daripada jumlah itu, kelahiran bayi lelaki adalah seramai 10 orang dan selebihnya adalah bayi perempuan.

Rekod ini dicatatkan bermula jam 12 tengah malam hingga 3 petang kelmarin dan kakitangan hospital berkenaan turut menyambut kelahiran bayi seberat 4.46 kilogram (kg).

Bagi Allen Joe, 27, dan isterinya Margareth Suele, 28, kelahiran bayi pertama mereka adalah pengalaman yang paling berharga sempena tahun baru ini walaupun dia dijadualkan lahir pada 19 Februari depan.

Allen yang bertugas sebagai Pembantu Perubatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) berkata, bayi lelakinya lahir pada jam 2.05 pagi dengan berat 1.85kg.

Menurutnya, walaupun dilahirkan dalam keadaan pramatang, namun mereka tetap bersyukur kerana anaknya yang diberikan nama Ather Mcflynn itu berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, kelahiran bayi perempuan, Ivaleen Myra, sememangnya menepati tarikh sepatutnya dia dilahirkan.

Kegembiraan itu dikongsi bersama kedua ibu bapanya, Iron Franciska, 26, dan Meynitha Aburah,27, sebagai bayi kedua dalam keluarga.

Meynitha melahirkan Ivaleen pada jam 3.36 pagi dengan berat 3.55 kg dan menganggap tarikah 1 Januari mudah untuk diingati.

Selain itu, seorang lagi ibu yang selamat melahirkan bayi tahun baru ialah Boo Tan Ai Li, 31, dengan kelahiran bayi perempuan seberat 2.7 kg.

Boo yang berasal dari Kepayan melahirkan anak yang kelima pada jam 9.10 pagi dan tarikh bayi sepatutnya lahir adalah pada 3 Januari.

“Saya gembira dengan kelahiran bayi perempuan ini dan dia adalah anak perempuan kedua dalam keluarga kami,” katanya sambil menambah anaknya itu juga adalah bayi tahun baru pertama dalam keluarga.