Terjun Laut Pada Malam Tahun Baru, Lelaki 20 Tahun Mati Lemas

0

TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang bertindak nekad terjun ke laut walaupun tidak mahir berenang pada malam sambutan tahun baru 2012 di Persiaran Traulsen di sini ditemui meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

MAYAT DITEMUI ... Beberapa anggota Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau mengangkat mayat mangsa yang ditemui kira-kira 20 meter dari pantai Persiaran Traulsen.

Utusan Borneo difahamkan mayat pemuda berusia 20 tahun itu ditemui dalam jarak lebih kurang 20 meter dari pantai Persiaran Traulsen oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama polis dan pihak penguatkuasa yang lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan pihak hospital pula telah mengesahkan bahawa pemuda terbabit meninggal dunia akibat lemas dan tidak ada tanda-tanda meragukan ditemui setakat ini.

“Pihak hospital mengesahkan bahawa pemuda itu meninggal dunia akibat lemas dan tidak ada tanda lain yang meragukan ditemui setakat ini. Kita mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut,” katanya.

Ibrahim menjelaskan siasatan awal menunjukkan bahawa pemuda itu terjun ke laut bersama seorang sepupunya yang juga berusia 20 tahun kerana bimbang dengan kehadiran pihak penguatkuasa yang menjalankan kawalan keselamatan di bandar pada malam kejadian.

Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 malam itu, beliau berkata sepupu mangsa berhasil meloloskan diri dan bersembunyi di salah sebuah kapal yang berlabuh di persisiran Teluk Cowie sehingga waktu siang berhampiran mayat mangsa ditemui.

Menurutnya lagi, kedua-dua pemuda itu dipercayai cuba melarikan diri daripada pihak polis di kawasan Persiaran Traulsen memandangkan kedua-dua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pihak penguatkuasa di bawah Unit Jaga Aman Ambang Tahun Baru 2012 yang melihat tindakan kedua-dua pemuda itu cuba menasihati mereka agar berpatah-balik kerana khuatir dengan keselamatan mereka.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka enggan menuruti nasihat yang diberikan sebaliknya ‘menghilangkan diri’ di sebalik kegelapan malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini.

Berdasarkan keterangan saksi dan sepupu mangsa yang terselamat, tambahnya, tindakan itu dipercayai diambil oleh mereka kerana mahu mengelak daripada pemeriksaan dokumen pengenalan diri oleh pihak polis.

“Ekoran insiden ini, kita telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat sehinggalah operasi dihentikan pada jam 2 pagi. Kemudian, operasi disambung semula pada jam 7 pagi hinggalah kita berjaya menemui mangsa yang telahpun meninggal dunia,” katanya.