Kebakaran malam ambang 2012 di Matu ragut dua jiwa

7

MOHD HAFIZI

MATU: Tragedi kebakaran sebuah kediaman di Kampung Hulu Kuala Matu, di sini 10 minit sebelum tirai 2011 dilabuhkan pada malam Ahad lalu meragut dua jiwa.

Mangsa kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas itu ialah Hamidah Bugay, 43, dan cucunya Nadirah Abdullah, setahun.

Menurut anak mangsa, Mohd Hafizi Nahar, 15, yang ditemui Utusan Borneo di sini, semalam, semasa kejadian terdapat tiga penghuni dalam rumah itu.

“Selain emak serta anak saudara yang terkorban, turut berada dalam rumah ketika kejadian ialah adik saya Riyanty, 5.

“Mujur Riyanty sempat menyelamatkan diri, namun dia melecur di beberapa bahagian badan. Kini, dia stabil selepas dirawat di Hospital Umum Sibu,” jelasnya.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu itu memberitahu bahawa semasa kejadian bapanya Nahar Abu Samah, 43, tiada di rumah.

“Seramai lapan ahli keluarga mendiami rumah itu. Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh hampir sejam hasil bantuan penduduk kampung

“Sekarang kami menumpang sementara di rumah saudara-mara di sini,” tambahnya yang masih trauma ekoran tragedi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Abu Seman Jahwie yang meraikan tahun baharu di pekan Matu bergegas ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan oleh orang ramai.

Beliau juga menghulurkan sumbangan peribadi untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa.