Pemuda BN S’wak kutuk Kempen Bebas Anwar 901

0

KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak mengutuk sekeras-kerasnya penganjur Kempen Bebas Anwar 901 sempena keputusan kes liwat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini.

Ketuanya Datuk Fadillah Yusof berkata, kempen itu menggambarkan mereka yang bersimpati dengan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak menghormati undang-undang negara dan meletakkan kepentingan individu lebih daripada kemakmuran rakyat dan negara.

Beliau berkata, penganjur itu juga mahu memburuk-burukkan imej negara sekali gus memberi gambaran negatif kepada pelancong dan pelabur tentang Malaysia.

Katanya, penganjur berkenaan juga jelas mempermain dan mempersendakan serta cuba melengah-lengahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai kes liwat itu pada 9 Januari ini.

Dalam pada itu Fadillah menasihati rakyat Sarawak yang berada di ibu negara atau di mana-mana sahaja agar tidak terjebak dan terbabit dalam perhimpunan yang tidak memberi faedah kepada negara. — Bernama