Rumah Dayak terus terbengkalai

BILA AKAN SIAP?: Projek Rumah Dayak yang terbengkalai lebih daripada 10 tahun iaitu sejak tahun 1997.

Projek di Jalan Satok ini terbengkalai lebih 10 tahun, sehingga kini tiada tanda ia akan siap dilaksana

KUCHING: Projek Rumah Dayak yang terletak di Jalan Satok terbengkalai lebih daripada 10 tahun dan sehingga kini belum menampakkan sebarang tanda-tanda ia akan siap dilaksanakan.

Dimulakan pada 1997, projek tersebut bukan sahaja gagal dilaksanakan malah bangunan yang bakal menjadi simbol perpaduan Dayak itu kini hampir rebah sebelum berjaya disiapkan.

Tinjauan Utusan Borneo ke lokasi tapak projek semalam mendapati bangunan yang belum siap itu bukan sahaja terbengkalai malah terbiar tanpa pengawasan sehingga menimbulkan pemandangan yang menyakitkan mata.

Pengerusi Jawatankuasa Rumah Dayak Dr John Brian Anthony ketika dihubungi berkata, kerja-kerja pelaksanaan projek tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan beberapa masalah yang agak merumitkan.

Katanya, disebabkan pelan lukisan dan struktur bangunan tidak diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada ketika itu, maka kerja-kerja pembinaan tidak dapat diteruskan.

Beliau turut mendakwa bahawa campur tangan daripada pihak tertentu telah menambahkan lagi kerumitan ke atas projek tersebut sehingga membawa kepada kegagalan pelaksanaannya.

“Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak  (SDNU) selaku pelopor kepada projek Rumah Dayak tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan projek ini telah diserahkan kepada pemaju berkaitan.

“Disebabkan ia terlalu rumit, Jawatankuasa Pelan Rumah Dayak SDNU berhasrat untuk menjual bangunan ini namun ada pihak yang tidak membenarkannya.

“Justeru, jawatankuasa memutuskan untuk menyerahkan perkara ini kepada mahkamah bagi mencari punca masalah dan penyelesaian yang paling wajar,” katanya.

Mengulas mengenai projek tersebut, perjanjian telah ditandatangani antara SDNU dan pemaju berkenaan pada 1997 yang mana pemaju diberi 80 peratus daripada pemilikan harta manakala SDNU menerima 20 peratus.

Kontrak projek berkenaan kemudiannya diserahkan semula kepada pemaju lain dan kerja-kerja pembinaan gagal dilaksanakan disebabkan masalah yang sukar dijelaskan.

Selepas tiga kali mesyuarat bersama pemaju, pengesahan dibuat dengan pemaju bahawa tempoh pelaksanaan dilanjutkan sehingga 29 Januari 2009 namun sekali lagi projek  yang menelan kos sekitar RM8 juta  itu gagal disiapkan mengikut jadual.

What do you think of this story?
  • Angry (0%)
  • Sad (0%)
  • Nothing (0%)
  • Interesting (0%)
  • Great (0%)

 

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Affiliates

 

Supplement Downloads

Member of