Contohilah kegigihan wanita Jepun, Korea

0

Wanita Matu juga mampu tingkat sosioekonomi

MATU: Golongan wanita di negeri ini, khususnya di Daerah Matu digesa supaya mencontohi kegigihan kaum wanita di negara Jepun dan Korea dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan keluarga masing-masing, seterusnya memberi sumbangan kepada pembangunan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Abu Seman Jahwie berkata, Jepun dan Korea bangkit dan lebih cepat mencapai taraf negara maju selepas Perang Dunia Kedua disebabkan kegigihan serta sumbangan yang dimainkan oleh kaum wanitanya.

“Kaum wanita di Jepun dan Korea dilaporkan aktif terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana,” katanya semasa berucap merasmikan Karnival Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Bawang di sini, baru-baru ini.

Karnival tiga hari itu dimeriahkan dengan pertandingan bermukun, poco-poco, layang-layang, gerai jualan, pertunjukan basikal ‘BMX Extreme’ dan pertandingan memasak nasi goreng.

Hadir sama ialah Pengerusi PPWS Cawangan Kampung Bawang, Rapiah Pian dan ketua-ketua kaum Daerah Matu.

Abu Seman yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri menegaskan, kaum wanita di daerah itu juga boleh maju setanding dengan kaum-kaum wanita di tempat lain jika mereka komited dan bijak menggunakan kekayaan sumber semulajadi tempatan untuk menghasilkan pendapatan.

“Antara bidang yang boleh kaum wanita di Matu usahakan ialah menghasilkan barangan kraf dengan menggunakan kekayaan sumber semula jadi tempatan.

“Menghasilkan kuih tradisional untuk pasaran tempatan juga merupakan satu lagi bidang yang boleh diusahakan,” katanya sambil menambah ia terpulang kepada kebijaksanaaan masing-masing dalam mengambil kesempatan.

Di samping itu, beliau turut menggesa kaum wanita di daerah itu supaya tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dalam membentuk keluarga bahagia, meskipun dalam kesibukan terlibat dengan aktif persatuan.

“Kita memang menggalakkan kaum wanita untuk bersama-sama aktif baik dalam persatuan, badan dakwah mahupun dalam parti politik. Dalam kesibukan itu, kita jangan lupa kepada tanggungjawab menjaga anak-anak dan suami di rumah,” jelasnya.