Korban tenaga, tidur akhirnya diiktiraf

0

SRS Taman Sourabaya Indah bukti inisiatif penduduk berjaya mengurangkan jenayah

KUCHING: Mengorbankan tenaga dengan berjaga dari tengah malam hingga awal pagi setiap hari selain berdepan cabaran kriti-kan negatif, tidak pernah melunturkan semangat ahli-ahli Skim Rondaan Sukarela Taman Sourabaya Indah (SRS TSI) di sini untuk memastikan kawasan mereka bebas daripada kegiatan jenayah dan masalah sosial.

Bahkan, usaha murni yang mereka perjuangkan itu akhirnya menerima sanjungan tinggi oleh segenap pihak dan penduduk setempat, yang membawa kepada pengiktirafan SRS Terbaik Sarawak pada tahun lepas.

Ketua SRS TSI Ahmad Safri Batu ketika ditemui sempena majlis Penghargaan SRS TSI sebagai SRS Terbaik Sarawak 2011 malam kelmarin berkata, sejak ditubuhkan pada Januari tahun 2009, kegiatan jenayah dan masalah sosial yang kritikal ketika itu telah dapat ditangani dengan ketara.

“Aspek keselamatan yang minimum pada waktu itu menyebabkan kegiatan jenayah dan masalah sosial seperti merompak, maksiat, melepak, ragut dan sebagai-nya sukar dikawal.

“Namun, dengan tertubuhnya SRS, keadaan yang menjadi kebimbangan utama kami itu telah menunjukkan perubahan yang ketara dengan kini TSI sudah 90 peratus bebas daripada kegiatan jenayah dan gejala sosial,” katanya.

Pengiktirafan sebagai SRS Terbaik Sarawak 2011 juga, katanya, telah membawa SRS TSI mewakili negeri ke peringkat kebangsaan bagi pertandingan SRS yang dikelolakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menurut Ahmad, SRS TSI kini mempunyai seramai 107 ahli berdaftar yang akan menjalankan rondaan mengikut kumpulan bermula tengah malam hingga jam 5 pagi di sekitar TSI yang merangkumi sebanyak 500 buah rumah.

Justeru, beliau berharap lebih ramai lagi penduduk setempat akan mendaftar sebagai ahli bagi memastikan kawalan keselamatan lebih terjamin.

Menjadi kebanggaan SRS TSI ialah komitmen Lizan Ramli, 25, yang merupakan OKU – pekak dan bisu sejak lahir, namun mempunyai semangat dan disiplin apabila menyertai SRS TSI sejak awal penubuhannya sehingga kini.

Sempena majlis itu, Lizan telah diberikan sijil pengiktirafan yang disampaikan oleh Pegawai JPNIN Bahagian Kuching Hilman Jack Usli.

“Semangat Lizan ini harus dicontohi oleh penduduk di sini terutamanya golongan muda kerana apa yang dilakukan ini adalah sesuatu yang sangat bermanfaat,” katanya.

Hilman turut menyeru penduduk TSI supaya lebih ramai terlibat sebagai ahli SRS TSI.

“Setiap ahli akan dilin-dungi insurans nyawa 24 jam… adalah kebaikan menjadi ahli SRS,” katanya.

Usaha SRS TSI juga menerima sokongan daripada polis dengan unit rondaan dari Balai Polis Gita turut kerap menjalankan rutin rondaan di sekitar TSI.

“Polis amat mengalu-alukan usaha masyarakat setempat dalam mengurangkan kegiatan jenayah dan gejala sosial.

“Dengan ini, kami akan terus bekerjasama menjalankan rondaan bagi memastikan tahap kawalan lebih terjamin di TSI,” kata Ketua Balai Polis Gita Cif Inspektor Fauzan Abu Kassim yang turut hadir pada majlis tersebut.

Selain JPNIN serta polis, SRS TSI turut menerima sokongan daripada Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof dan ADUN Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.