Home - Utusan Borneo - Berita Nasional - Melaka rancang bina muzium kapal selam kedua di Dataran 1Malaysia

Melaka rancang bina muzium kapal selam kedua di Dataran 1Malaysia

Posted on January 4, 2012, Wednesday

MELAKA: Melaka merancang membina sebuah lagi muzium kapal selam selepas melancarkan sebuah muzium kapal selam pertama, SMD Ouessant Agosta 70 buatan Perancis, November lepas.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, muzium kedua tersebut akan ditempatkan bersebelahan Agosta 70 di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini, tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri kini sedang mencari sebuah lagi kapal selam untuk diletakkan berhampiran Muzium Kapal Selam pertama negara, SMD Ouessant Agosta 70 yang saiznya lebih kecil daripada kapal selam yang pertama dan kita akan menanggung kos untuk membawanya ke Melaka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Muzium Kapal Selam pertama negara di Dataran 1Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata, usaha ini dilihat dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan kawasan sekitar muzium itu sebagai Kompleks Muzium Maritim yang terkenal di seluruh dunia.

Katanya, beliau percaya dengan perancangan yang teliti, Dataran 1Malaysia tersebut mampu menjadi kawasan tumpuan pelancong utama di negeri ini dengan pendapatan tahunan bernilai jutaan ringgit.

Mohd Ali berkata, Melaka sedia menerima mana-mana kapal selam yang tidak digunakan lagi untuk ditempatkan di Dataran 1Malaysia.

“Melaka berminat menjadi tuan rumah bagi menempatkan kapal selam, namun kita tidak berminat untuk membeli, sebaliknya diperoleh secara percuma dan cuma menanggung kos pengangkutan untuk di bawa ke sini,” katanya.

Muzium Kapal Selam pertama itu dibuka semula kepada orang ramai pada Ahad lepas dengan bayaran RM1 bagi dewasa manakala 50 sen bagi kanak-kanak selepas ditutup sementara bulan lepas bagi proses penyelenggaraan.

Dalam tempoh dua hari itu, seramai 2,800 pengunjung telah melawat muzium itu dan berdasarkan sambutan yang menggalakkan ini, beliau percaya ia boleh menjadi produk pelancongan utama negeri dan menjana pendapatan jutaan ringgit setahun.

Sehubungan dengan itu katanya, kerajaan negeri akan memohon peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kementerian Pelancongan bagi membina kawasan persekitaran muzium itu supaya bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, antara kemudahan yang akan dibina ialah kolam air, kerja-kerja pengindahan landskap selain turut menempatkan replika Kapal Raja Melaka.

Katanya, apabila kawasan itu siap sepenuhnya, harga tiket baru yang dikenakan adalah RM5 bagi dewasa manakala RM3 bagi kanak-kanak.

Muzium Kapal Selam pertama negara berukuran 67.5 meter panjang, 11.7 meter tinggi dan 6.5 meter lebar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dibawa dari limbungannya di Brest, Perancis pada 12 Okt lalu.

Kapal itu tiba di perairan Selat Melaka berhampiran Klebang di sini pada 13 Nov lalu selepas 31 hari pelayaran sebelum tiba di tapak muzium itu di Dataran 1Malaysia pada 17 Nov lepas. — Bernama

Print Friendly

Comments are closed.