Kilang terbakar sebabkan kerugian hampir setengah juta

0

SHAH ALAM: Sebuah kilang menyimpan barangan terpakai termasuk komponen kereta dan alat pendingin udara di Lot 1937, Batu 7, Jalan Bukit Kemuning di sini terbakar malam ini menyebabkan kerugian hampir setengah juta ringgit.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, seramai 44 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba Seksyen 15 Kota Raja dan Taman Sri Andalas di Klang serta Pelabuhan Klang dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 malam.

Beliau berkata, selain sumber air lori tangki, anggota bomba terpaksa menggunakan parit berhampiran dengan sambungan paip sepanjang 700 meter menyedut  air memadam kebakaran.

“Kita terpaksa gunakan sumber air terbuka kerana tekanan air rendah pada dua pili bomba di premis terbabit. Kebakaran berjaya dikawal 9.03 malam sementara kerugian dianggarkan antara RM300,000 ke RM500,000,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Sani berkata, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke beberapa kilang lain dan ke kawasan perumahan berhampiran.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih disiasat. Difahamkan kilang berkenaan beroperasi sehingga jam 5 petang kelmarin.

Sementara itu, seorang pekerja kilang warga Bangladesh dikenali sebagai Kareem, 30-an, memberitahu pemberita dia terdengar lima kali letupan sebelum melihat api menjulang marak di kilang itu. — Bernama