Lelaki diberkas berhubung kes mayat wanita dalam selimut

0

IPOH: Polis menahan seorang lelaki berhubung pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui digulung dengan tilam di kawasan belukar berhampiran perkampungan Orang Asli, Juang, Simpang Pulai di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata, lelaki berusia 49 tahun itu, yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau, ditahan di rumahnya di Taman Lapangan Legenda di sini pada jam 5.30 petang kelmarin.

“Polis menemui sebilah parang, sepasang gari, dua telefon bimbit, sebuah decorder, satu hos getah, gunting dan sebuah kereta jenis BMW di rumah lelaki itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Shukri berkata, siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah sikap cemburu suspek terhadap mangsa.

Katanya, lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam.

Dalam kejadian Isnin lepas, Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, yang tinggal di Sungai Rokam di sini, ditemui mati akibat hentakan objek tumpul di kepala dan badan.

Mayatnya yang sudah berulat itu ditemui oleh seorang lelaki Orang Asli ketika mencari burung pada jam 2.30 petang.

Dalam kes lain pada Isnin, polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah jenis heroin seberat 9.2 kg bernilai RM160,000 di dalam sebuah kereta yang dinaiki mereka di Taman Muhibbah di Sungai Siput.

Shukri berkata, polis turut merampas wang tunai RM3,830 dan sebuah kereta daripada mereka.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu yang tidak bekerja dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sekitar Ipoh dan Sungai Siput sejak dua bulan lepas. — Bernama