Penduduk Kampung Long Ikang janji sokongan penuh kepada Sagan

0

MARUDI: Penduduk Kampung Long Ikang dalam kawasan Baram Tengah di sini berjanji akan memberi sokongan 100 peratus kepada Ahli Parlimen Baram Datuk Jacob Dungau Sagan selaku calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang dijangka diadakan tahun ini.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Long Ikang Marcus Laing, 65, yang mewakili penduduk bagi menyatakan sokongan berkenaan, berkata hanya kerajaan BN sahaja yang mampu memberi dan menyalurkan pembangunan terutama kepada penduduk di luar bandar.

“Selain pembangunan infrastraktur, kerajaan juga kini mulai menyalurkan bantuan berjumlah RM100 kepada para pelajar,” katanya.

“Sebaliknya pihak pembangkang tidak berbuat begini. Mereka (pembangkang) hanya pandai bercakap dan membohongi penduduk kampung sambil sentiasa menyalahkan kerajaan dengan mengatakan semua yang tidak betul dilakukan oleh kerajaan,” tambah Laing lagi.

Bercakap kepada Utusan Borneo di sini beliau berkata, tidak semua penduduk menerima dakyah pembangkang sebaliknya ada juga yang me- radang terutama kepada penduduk kampung yang tinggal di bandar dan hanya pulang ke kampung untuk mempenga-ruhi penduduk sambil menyebelah pembangkang.

“Mereka ini hanya datang pada musim pilihan raya tetapi balik sesudah pilihan raya.

“Secara peribadi saya pun memang menyokong penuh Datuk Jacob dan Barisan Nasional. Tambahan pula beliau (Jacob) ialah naib presiden kanan SPDP Negeri.

“Saya mahu penduduk Long Ikang sama-sama berjalan dalam satu perahu iaitu dalam ‘perahu’ BN dan kepada penduduk yang menetap di bandar serta pulang sekali-sekala ke kampung, saya ingatkan jangan hanya datang pada masa pilihan raya sambil mengacau keamanan dan keharmonian kampung yang sudah lama wujud,” katanya.

Sebaliknya menurut Laing, golongan itu sepatutnya membantu penduduk kampung menyokong calon BN demi pembangunan di kawasan kampung mereka.

Dalam pada itu, Laing yang juga bekas pegawai pertanian turut  merayu kepada penduduk Long Ikang agar jangan sama sekali membuat kacau-bilau di kampung mereka.

Sementara itu, pada PRU yang lalu, Long Ikang memberikan Sagan purata 96 peratus kemenangan tetapi kali ini penduduk katanya akan berusaha memastikan sokongan 100 peratus untuk Sagan kelak.