Sistem prasekolah menampakkan kejayaan

0

BERSEMANGAT:(dari kiri) Sebastian dan Marcella bersama rakan baharu mereka pada hari pertama sesi persekolahan yang bermula semalam.

KUCHING:Sistem pendidikan di negara ini nyata lebih teratur dengan adanya prasekolah.

Perkara ini jelas apabila dahulu sering kita mendengar tangisan pada hari pertama sesi persekolahan, namun keadaan tersebut berbeza kini apabila suasana itu digantikan dengan senda tawa serta penuh keceriaan di wajah murid-murid.

Situasi ini adalah disebabkan adanya pendedahan awal di peringkat prasekolah  sekali gus mempersiapkan kanak-kanak ini untuk berdepan dengan alam persekolahan sebenar.

Tinjuan Utusan Borneo semalam  juga mendapati kebanyakan ibu bapa bersetuju dan menganggap pendidikan di peringkat prasekolah adalah satu permulaan terbaik untuk kanak-kanak.

“Bagi saya, anak-anak memang sepatutnya dihantar ke prasekolah terlebih dahulu kerana ia akan memberi pendedahan awal kepada mereka sebelum menempuhi alam persekolahan yang sebenar,” kata seorang ayah, John Sating,43.

Menurut Barowen Atan, pendidikan di peringkat prasekolah juga memberi semangat kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan.

“Anak saya misalnya, dia sudah tidak sabar-sabar untuk memulakan sesi persekolahan selepas cuti panjang sebaik tamat sesi prasekolahnya pada tahun lepas.

“Disebabkan itu, tidak dinafikan pendidikan di peringkat prasekolah memang memainkan peranan dalam menyuntik semangat kepada anak-anak untuk terus belajar,” katanya.

Marcella Jane, murid Tahun Satu SK Garland yang ditemui semalam memberitahu, dia bersama keluarganya telah lama melakukan persiapan untuk sesi persekolahan pada tahun ini.

Oleh itu, dia amat teruja untuk menempuhi sesi persekolahan yang bermula semalam.

“Saya memang tidak sabar untuk masuk semula ke sekolah selepas cuti panjang dan saya harap saya akan dapat lebih banyak ilmu pengetahuan di sekolah ini,” katanya.

Sementara Joanna Renya, juga murid Tahun Satu berkata, sejak cuti sekolah tahun lepas dia telah banyak melakukan ulang kaji.

Sehubungan itu dia mengharapkan dengan memasuki semula sesi persekolahan pada tahun ini dia akan mengasah lagi pengetahuannya.

“Saya sering dibantu oleh keluarga saya dalam melakukan ulang kaji semasa cuti lepas, oleh itu saat ini memang saat yang ditunggu-tunggu kerana saya akan mendapat lebih banyak ilmu pengetahuan daripada guru-guru,” katanya.

Menurut Sebastian Luke yang juga merupakan murid Tahun Satu sekolah tersebut, dia tidak sabar untuk masuk ke sekolah semula kerana berpeluang untuk bertemu dengan lebih ramai kenalan baharu.

“Saya memang tidak sabar untuk masuk ke sekolah semula kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan lama dan saya juga dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan baharu,” kata Sebastian.