Tiga GRO China tawar khidmat seks diberkas

0

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga orang wanita warganegara China yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) berumur dalam lingkungan 22 dan 28 tahun dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri mewah dekat Bukit Dumbar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas intipan dibuat di premis itu sejak seminggu lepas.

“Hasil siasatan polis mendapati ketiga-tiga wanita itu tinggal dalam bilik berasingan dan cara mereka menjalankan operasi ialah pelanggan hanya perlumembuat panggilan telefon untuk mendapatkan khidmat seks,” katanya kepadapemberita di sini semalam.

Seorang lelaki warga tempatan dipercayai sebagai pelanggan turut ditahan bagi membantu siasatan manakala 60 keping kondom yang dipercayai untuk kegunaan pelanggan ditemui.

Dalam kes lain, polis Pulau Pinang menahan sepasang kekasih dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM35,000 di sebuah bilik hotel murah di Jalan Telaga Air, Butterworth, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC II, Zahruddin Abdullah berkata, lelaki berusia 24 tahun bersama wanita berumur 23 tahun itu ditahan dalam  serbuan pada jam 12.30 tengah hari semalam hasil maklumat awam.

“Mereka dipercayai telah lama melakukan kegiatan di situ,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Dalam serbuan itu polis merampas 1,080 gram dadah jenis ketamin, 0.5 gram ganja, 1.6 gram syabu, dan tujuh biji pil khayal.

Zahruddin juga berkata, polis sedang memburu 10 suspek berhubung kes serangan terhadap seorang operator pengheluaran berusia 28 tahun di tempat letak kereta di Jalan Perak petang kelmarin.

“Mangsa hampir putus tangan kanan kerana ditetak dengan parang selain mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Zahruddin berkata, motif serangan masih disiasat. — Bernama