Tugas bina pasukan kuat perlu sokongan dan bantuan ahli pasukan

0

BINTULU: Tugas untuk membina sebuah pasukan yang kuat tidak mudah dan ia memerlukan lebih banyak sokongan sertabantuan daripada ahli-ahli pasukan.

MUHAMAD YAKUB

Kenyataan itu merujuk kepada pentadbiran bagi sesebuah kawasan seperti yang dijelaskan oleh Residen Bintulu yang baharu Muhamad Yakub Kari di sini.

“Saya terhutang budi dengan sumbangan bekas Residen Bintulu Ismail Mohd Hanis yang akan berpindah ke Samarahan kerana menjadi `komander’ yang berjaya dalam satu pentadbiran,” jelasnya berucap pada majlis makan malam perpisahan untuk Residen Ismail Mohd Hanis di Hotel Kemena Plaza malam kelmarin.

“Bagi saya, beliau telah menggabungkan sebuah pasukan pentadbir yang begitu baik dan saya berterima kasih kerana dapat bekerja meneruskan kesinambungan dalam sebuah pasukan yang hebat ini,” katanya.

Menurutnya, bekas residen itu telah menetapkan satu standard yang sangat baik untuknya dan beliau berharap akan mendapat sokongan padu daripada kakitangan lain bagi memastikan tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan dan cekap.

“Beliau telah menetapkan satu standard yang sangat tinggi bagi saya untuk meneruskannya.

“Hidup ini seperti rantai, walaupun ada standard, mesti ada perubahan, tetapi saya tidak tahu perubahan itu di sini dan saya perlu meneroka Bintulu dengan lebih mendalam lagi dalam usaha  menghasilkan input yang kita boleh banggakan,” katanya.

Beliau menambah, Bintulu telah menghasilkan nilai, komponen-komponen dalam rantaian nilai yang besar yang perlu ditangani dengan sewajarnya.

“Faktor x dan y akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam perbincangan strategik untuk menyerlahkan lagi sumbangan industri mega di sini,” katanya.

Katanya, beliau tidak sabar untuk mendengar idea-idea baharu daripada kakitangan bawahannya untuk mencapai kejayaan yang lebih besar untuk kebaikan penduduk Bintulu.